Apandi gesa Muhyiddin mohon maaf kepada Agong atau letak jawatan


Raevathi Supramaniam

Mohamed Apandi Ali berkata tindakan membatalkan ordinan darurat perlu mendapat perkenan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon maaf, mendapatkan perkenan kerana membatalkan ordinan darurat, atau mengundurkan diri, kata bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali hari ini.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight yang kerajaan melakukan kesalahan mengumumkan pembatalan enam ordinan darurat tanpa berunding dengan Agong.

“Di bawah undang-undang, setiap pembatalan ordinan perlu dilakukan oleh Agong. Sudah tentu baginda bertindak atas nasihat tetapi perlu dimaklumkan dan persetujuannya haruslah diperoleh terlebih dahulu.

“Ia tidak dilakukan dengan betul,” kata Apandi.

Beliau berkata terdapat kes undang-undang dalam Majlis Privi yang menegaskan Agong perlu  dirujuk dalam keadaan seperti ini.

“Ada dua perkara yang mereka (kerajaan) boleh lakukan sekarang. Perdana menteri boleh pergi menghadap dan meminta maaf serta mendapat persetujuan Agong.

“Itu adalah satu kesilapan, beliau membuat kesilapan. Di negara barat, beliau perlu mengundurkan diri, tetapi ini adalah Malaysia.”

Apandi berkata tidak jelas mengapa peguam negara sekarang Idrus Harus tidak menasihati kerajaan mengenai apa yang harus dilakukan.

“Peguam negara sepatutnya menasihati mereka, tetapi nampaknya seperti semua orang tidur.”

Pada Isnin, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa ordinan darurat dibatalkan oleh kerajaan mulai 21 Julai. Beliau berkata keputusan itu dibuat sesuai dengan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan. – 29 Julai, 2021.

Berita penuh di sini  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen