Rakyat Malaysia tidak sukar dapatkan visa untuk ke AS, kata duta 


Peluang mendapatkan visa pelajar untuk ke Amerika Syarikat adalah 99 peratus berdasarkan statistik tahun lalu.– Gambar EPA, 17 Januari, 2018.

SEBENARNYA, memang mudah bagi rakyat Malaysia mendapatkan visa untuk membuat perjalanan ke Amerika Syarikat dan kesukaran mendapatkannya adalah tanggapan umum rakyat negara ini semata-mata, kata Duta Besar negara itu di Malaysia Kamala Shirin Lakhdir

Beliau berkata bagi rakyat Malaysia yang ingin membuat perjalanan atau belajar di Amerika, selalunya perkara yang menjadi rintangan bukanlah visa.

“Saya ingin maklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa sekiranya anda memohon visa pelajar untuk ke Amerika, peluang anda untuk mendapatnya ialah 99 peratus (berdasarkan statistik tahun lepas), dan bagi tujuan perjalanan serta rasmi pula, peluangnya ialah 97 peratus,” kata beliau.

Kamala berkata demikian kepada pemberita selepas melawat The American Corner di Perpustakaan Negeri Kedah hari ini.

Katanya, Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur akan terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk membolehkan Malaysia tersenarai dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (VWP), walaupun Amerika tidak akan menambah jumlah negara baharu VWP dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, kedutaan itu sedang meneliti beberapa faktor dan isu, seperti keselamatan sempadan dan pasport.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Malaysia, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen, tetapi untuk sementara ini, kami tidak akan menambah negara baharu (ke dalam VWP),” katanya.

Malaysia menyuarakan hasratnya untuk disenaraikan dalam VWP Amerika semasa perbincangan antara Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Amerika ketika itu, Barack Obama ketika bekas pemimpin Amerika itu melawat Malaysia pada April 2014.

Program itu akan membolehkan rakyat Malaysia memasuki dan tinggal di Amerika tanpa visa untuk tempoh maksimum 90 hari bagi tujuan melancong dan atas urusan perniagaan.

Ketika ini, rakyat dari 38 negara dan wilayah layak memasuki Amerika tanpa visa di bawah VWP.

Sementara itu, Kamala berkatatahun ini, Kedah akan mendapat 12 guru  di bawah Program Fulbright English Teaching Assistant (ETA) untuk membimbing guru bahasa  Inggeris tempatan, di samping bertindak sebagai  duta budaya Amerika dan untuk meningkatkan kemampuan pelajar Malaysia menguasai bahasa Inggeris.

Katanya, mereka adalah antara 100 rakyat Amerika yang menyertai Program ETA tahun ini dan guru berkenaan akan  memulakan tugasan 10 bulan mereka akhir bulan ini bagi membantu guru bahasa Inggeris sekolah menengah di sembilan negeri.

ETA adalah program dua hala yang dikendalikan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dan Kementerian Pendidikan Malaysia, dengan sokongan Kedutaan Amerika.

Terdahulu, Kamala beramah mesra dengan tiga pelajar sekolah tinggi Amerika yang sedang menuntut di sekolah di Kedah di bawah Program Pertukaran Belia dan Pendidikan (YES) Di Luar Negara Kennedy-Lugar.  – Bernama, 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen