.jpg)
DALAM sejarah politik negara, pertembungan ideologi antara orang tua dan orang muda berlaku seawal tahun 1920-an lagi.
Kaum Tua, elitis agama yang mendukung pemikiran tradisional dan konservatif, melawan Kaum Muda, reformis yang cuba membawa perubahan dengan memasukkan elemen duniawi dan moden supaya kehidupan masyarakat Islam lebih teratur dan seimbang. Tidaklah hanya tumpu beribadat sampaikan urusan dunia terabai.
Dalam aspek politik dan urus tadbir negara, Kaum Muda ini berani kritik pemimpin feudal tak kira mufti, menteri, hatta sultan sekalipun. Kerana itulah, Kaum Tua berasa curiga ke atas Kaum Muda dan menentang ideologi mereka. Bagi mereka, Kaum Muda ini satu ancaman besar terhadap status quo.
Walhal sumbangan Kaum Muda sangat penting terutamanya dalam memberi kesedaran nasionalisme dan memperbaiki sistem pendidikan agama. Integrasi antara pendidikan agama dan ilmu duniawi moden yang seimbang pada masa ini adalah hasil perjuangan mereka.
Drama politik
Pasca merdeka, selama 60 tahun di bawah pentadbiran kerajaan BN, lanskap politik negara tak banyak berubah. 60 tahun rakyat setia mengundi BN. Tapi bermula pada pilihan raya umum (PRU) 2008, sedikit demi sedikit BN goyang sebelum mereka akhirnya tumbang pada PRU 2018. Mengapa ini terjadi?
Salah satu puncanya adalah pengundi-pengundi muda sudah mula penat dengan drama-drama politik yang majoritinya diterajui oleh orang tua. Politik mereka hanya berkisar tentang kuasa. Kesejahteraan rakyat tak dipeduli sangat melainkan apabila PRU sudah dekat.
Orang muda zaman sekarang tidak lagi buta dan tuli. Akhbar bukan lagi sumber utama maklumat. Internet is the real deal. Maklumat bergerak begitu pantas tanpa tapisan di internet. Mereka sudah tak peduli dengan akhbar fizikal sampai akhirnya syarikat percetakan akhbar pun melingkup.
Kesannya, kerajaan tak dapat lagi menyuap rakyat kebanyakan dengan propaganda mereka melalui akhbar-akhbar nasional. Ada yang masih termakan pun kebanyakan orang tua yang tidak handal bermain internet.
Perubahan
Orang muda mahu perubahan. Mereka mahu menteri-menteri yang progresif, penuh dengan idea-idea segar yang selari dengan zaman. Bukan macam Adham Baba, cadang buat kad vaksin untuk gantung di leher pada zaman digital begini. Itu idea purba. Contoh.
Kita lihat bagaimana handalnya Jacinda Ardern mengemudi New Zealand seawal usia 37 tahun. Perdana Menteri Kanada pula menjawat jawatan tersebut pada umur 44 tahun. Ini contoh dua negara maju yang tidak takut mengangkat orang muda jadi ketua negara.
Tapi di Malaysia, umur 93 tahun pun masih boleh jadi PM. Lepas letak jawatan, yang muda sikit naik (secara tak bermaruah), itu pun umur dah 73 tahun, jauh melepasi umur pencen standard. Menteri, timbalan menteri, ahli parlimen pun banyak dah tua. Ada yang muda, diejek “budak mentah dan bodoh” pula.
Masa sudah tiba
Sudah tiba masanya orang muda diberi peluang. Kalau mereka mentah, inilah masanya untuk mereka dimasak cukup-cukup.
Kalau mereka bodoh, pengalaman akan memandaikan mereka kelak. Lebih cepat lebih bagus.
Kalau kata orang muda penuh emosi, habis yang tua-tua dalam parlimen terpekik terlolong itu apa bukan emosi namanya?
Jadi, serahkan baton dan berehatlah. Usah gusar tentang masa depan negara dan bangsa. Berilah orang muda kepercayaan mengemudi negara menuju sejahtera.
Atau, belum cukup lagi harta dikumpul untuk anak cucu, jadi tuan-tuan semua masih belum puas memegang kuasa? – 29 Julai, 2021.
* Mutalib Uthman, kaum muda.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen