Puluhan penduduk cedera dalam kebakaran hutan Turki 


Anggota bomba Turki cuba memadamkan kebakaran hutan berhampiran pekan Manavgat di selatan negara itu.– Gambar EPA, 29 Julai, 2021.

PULUHAN penduduk dibawa ke hospital kerana terhidu asap dan beberapa orang lagi cedera akibat melecur selepas kebakaran hutan merebak di beberapa penempatan berhampiran pusat peranginan di selatan Turki, lapor media. 

Rakaman video di media sosial dan stesen televisyen Turki memaparkan anggota penyelamat memadam kebakaran menggunakan helikopter di beberapa bangunan dan padang sekitar pekan Manavgat.  

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata semua langkah dan sokongan yang perlu akan diberikan kepada rakyat di kawasan berkenaan yang terjejas, dan menambah siasatan punca kebakaran telah dilancarkan. 

Media Turki melaporkan, 62 orang yang kebanyakannya penduduk tempatan dimasukkan ke hospital kerana terhidu asap dan tiga lagi mengalami kecederaan. 

Ratusan petugas bomba yang dibantu helikopter dan pesawat cuba mengawal kebakaran berkenaan. 

Pegawai tempatan memberitahu media, empat kawasan di pekan berkenaan telah dikosongkan dan sebahagian daripada kebakaran itu kini terkawal. 

“Ia sesuatu yang sukar dipercayai dan sangat buruk,” kata Datuk Bandar Manavgat Sukru Sozen kepada CNN Turki. 

Masih tidak jelas mengenai berapa ramai yang terjejas, namun stesen TV NTV berkata 20 bangunan perumahan yang menempatkan 500 penduduk di satu bahagian pekan berkenaan rentung. 

Agensi berita Anadolu menafikan laporan awal bahawa hospital tempatan telah dikosongkan sebagai langkah persediaan awal. – AFP, 29 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen