KETIKA Thailand terus mencatat jumlah kes baharu Covid-19, termasuk jumlah tertinggi sebanyak 16,533 kes hari ini, langkah-langkah sedang diambil untuk mengatasi masalah kekurangan katil di hospital di Bangkok, pusat penularan wabak terbaharu.
Sepanjang 24 jam, Thailand juga melaporkan 133 kematian menjadikan jumlah terkumpul kepada 543,361 kes dan 4,397 kematian.
Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan menyatakan Bangkok mencatatkan 3,997 kes baharu dan 45 kematian.
Daripada 16,533 kes baharu, sejumlah 16,523 adalah jangkitan tempatan dan 10 kes import.
Sehingga kini,178,270 pesakit dirawat di hospital dan hospital medan termasuk 4,325 dalam keadaan kritikal dan 995 bergantung pada alat bantuan pernafasan, kata CCSA.
Disebabkan itu, pihak berkuasa melaksanakan pelbagai langkah untuk mengatasi masalah kekurangan katil hospital di ibu negara termasuk menghantar pesakit Covid-19 dengan gejala ringan dan sederhana ke wilayah asal mereka untuk menerima rawatan di hospital wilayah.
Semalam, sebuah kereta api yang membawa lebih 100 pesakit berlepas dari stesen Rangsit di wilayah Pathum Thani ke wilayah timur laut serta menurunkan pesakit di tujuh wilayah dan pegawai kesihatan tempatan terus membawa mereka ke hospital.
Selain itu, Bangkok Metropolitan Authority (BMA) juga mengubah suai 15 kereta api yang tidak digunakan di depot penyelenggaraan Bang Sue Grand Station menjadi wad pengasingan yang mempunyai 240 katil untuk pesakit Covid-19 dengan gejala ringan dan sederhana sementara menunggu kekosongan di hospital.
Sementara itu, orang ramai yang beratur di pusat vaksinasi Bangkok, Bang Sue Grand Station telah mencetuskan kebimbangan kemunculan kluster baharu.
Bagi mempercepat vaksinasi, kumpulan yang berisiko - penduduk berusia 60 tahun ke atas, yang beratnya sekurang-kurangnya 100 kilogram dan juga wanita hamil (sekurang-kurangnya 12 minggu) dibenarkan datang tanpa janji temu (walk-in) untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Pusat vaksinasi akan membuka tempahan dalam talian bermula Khamis untuk suntikan pada Ogos dengan ‘walk-in’ dijangka akan dihentikan pada Sabtu. – Bernama, 29 Julai, 2021.
Komen