KERAJAAN Singapura akan menyumbangkan 200 tabung oksigen 10 liter untuk membantu rakyat Myanmar dalam situasi pandemik Covid-19 ini, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu.
Peralatan oksigen itu akan disalurkan melalui Palang Merah Singapura (SRC), yang telah melancarkan rayuan sumbangan masyarakat untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Asia Tenggara dan Asia Selatan melalui “Dana Tindak Balas Antarabangsa Covid-19”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MFA menyatakan SRC akan bekerjasama dengan Persatuan Palang Merah Myanmar untuk mengedarkan peralatan oksigen tersebut kepada komuniti yang terjejas di Myanmar.
“Ini akan melengkapkan sumbangan awal kerajaan Singapura termasuk mesin PCR, ujian diagnostik, topeng pembedahan, pembersih tangan, dan bekalan perubatan lain untuk menyokong usaha Myanmar memerangi Covid-19,” katanya.
Kementerian itu menyatakan Singapura bersolidariti dengan rakyat Myanmar dalam memerangi Covid-19.
“Sumbangan ini, serta sumbangan yang dianjurkan oleh entiti swasta dan komuniti Myanmar di Singapura, membuktikan sokongan yang kuat antara masyarakat Singapura dan Myanmar dalam mengatasi cabaran Covid-19,” tambahnya. – Bernama, 29 Julai, 2021.
Komen