Pengurus mayat, wakil rakyat dan persatuan bantu orang miskin urus pengebumian


Angie Tan

Kesesakan di krematorium kerajaan memaksa orang ramai ke pusat-pusat swasta yang harga kos pengebumian jauh lebih tinggi menyebabkan mereka tidak mampu menanggungnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

SEORANG pengurus mayat, wakil rakyat dan persatuan pengebumian membantu keluarga kurang berkemampuan untuk mengebumikan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka melakukan perkhidmatan ini kerana kos pengebumian melibatkan mangsa Covid-19 mahal menyukarkan golongan kurang berkemampuan.

Mereka juga berkata, kesesakan di krematorium kerajaan memaksa orang ramai ke pusat-pusat swasta yang harganya jauh lebih tinggi.

Pengurus mayat, Ting Chooi Long yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri ini berkata, dia melihat ada keluarga yang tidak dapat mengendalikan jenazah ahli keluarga mereka dengan baik.

“Pendapatan mereka terjejas teruk dan dengan masalah mendapatkan makanan tiga kali sehari, mereka tidak mempunyai wang tambahan untuk melakukan pengebumian dan perlu meminjam duit,” kata lelaki berusia 46 tahun itu.

“Pengebumian merupakan perpisahan terakhir. Sangat menyedihkan, jadi saya putuskan untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Syarikat Ting yang beroperasi di Klang, salah satu kawasan yang terjejas teruk di Selangor dan mengendalikan purata 20 kematian akibat Covid-19 dalam sehari.

Katanya, kos untuk upacara pengebumian juga meningkat selama ini selepas mengambil kira pembelian peralatan pembasmian kuman, alat perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.

“Ia perbelanjaan yang besar tetapi tanggunjawab korporat sosial masih perlu dilaksanakan bagi membolehkan si mati berehat dengan tenang,” katanya.

Dia mengalu-alukan keluarga dari kaum Cina yang memerlukan untuk menghubunginya di talian 012-2389393.

Sementara itu Adun Teratai Bryan Lai Wai Chong mula bekerjasama dengan Universal Memorial Park di Semenyih bulan lalu bagi membantu keluarga yang memerlukan.

Lai berkata, beliau baru-baru ini membantu sebuah keluarga di mana tujuh daripada mereka dijangkiti virus berkenaan termasuk satu-satunya pencari nafkah keluarga itu.

Malangnya, suami yang bekerja sebagai pemandu teksi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan meninggal dunia.

Isterinya masih dalam kuarantin ketika itu dan terkejut dengan apa yang berlaku tanpa kewangan yang mencukupi, kata Lai.

“Setelah mengetahui keadaannya, kami membantu keluarga menyelesaikan upacara pengebumian.

“Taman Peringatan Universal mengurus kesemuanya dari mengambil jenazah dan melakukan pembakaran mayat tanpa sebarang bayaran,” kata Lai. – 29 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen