
KADAR vaksinasi negara mungkin lebih pantas berbanding sekarang sekiranya kerajaan lebih awal mendapatkan bekalan vaksin, kata ahli Parlimen pembangkang.
Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) turut mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Berbanding negara-negara lain, program vaksinasi mereka dapat berjalan lebih awal kerana sudahpun membuat tempahan ketika kerajaan masih mengambil sikap tunggu dan lihat, katanya.
“Tetapi ketika persaingan global yang sengit dapatkan bekalan vaksin, fokus kita seharusnya ke arah akses, selain harga dan ‘efficacy’. Misalnya ada negara lain yang cepat program vaksin mereka kerana mereka buat dulu ‘procurement commitment’. ‘Cop’ dulu kata orang Kedah.
“Pertimbangan mereka adalah penghantaran paling awal, mereka nak dapat seawal mungkin sebab persaingannya sengit.
“Ketika persaingan sengit untuk mendapat bekalan, dan kita tiada kuasa tawar menawar yang kuat, ketika negara lain membuat tempahan awal, kita masih tunggu (kelulusan) NPRA,” katanya semasa membahaskan pembentangan Menteri Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat pagi tadi. – 28 Julai, 2021.
Komen