Hampir 4 daripada 10 rakyat Malaysia terima 1 dos vaksin, kata Khairy


Sebanyak 38.2% atau 12.49 juta rakyat Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2021.

SEHINGGA semalam, 38.2% atau 12.49 juta rakyat Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata daripada jumlah itu, 18.1% atau 5.9 juta daripada populasi sudah lengkap menerima dua dos.

Beliau berkata jumlah vaksin yang diberikan sejak PICK bermula ialah 18.39 juta dos.

“Oleh itu, 53.3% populasi dewasa kini sudah menerima satu dos sementara 25.2% lengkap imunisasi mereka,” katanya yang juga ahli Parlimen Rembau di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi pendaftaran vaksin, Khairy berkata 20.1 juta atau 61.7% daripada 32.7 juta populasi sudah berdaftar, dan 18.8 juta individu berkenaan berusia 18 tahun leatas sementara 1.2 juta di bawah usia 18.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata jumlah pendaftaran adalah rendah berbanding sasaran PICK iaitu 80% populasi akan diimunisasi.

“Pendaftaran program imunisasi di beberapa negeri lebih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Nasional, bagi membolehkan negeri beralih dari fasa satu ke fasa berikutnya.

“Kerajaan sedar ada negeri yang lebih sukar mendaftar PICK kerana perbezaan geografi dan demografi serta akses kepada komunikasi.

“Oleh itu keraan merancang pelbagai strategi untuk memastikan mereka akan dimasukkan dalam PICk.”

Khairy berkata kerajaan sudah menerima 26.3 juta daripada 41.7 juta dos vaksin Covid-19 yang diperoleh.

“Setakat 26 Julai, kerajaan menerima 23.88 juta dos daripada pembekal dan selebihnya adalah sumbangan dari Jepun, Amerika Syarikat dan China.”

Kerajaan Perikatan Nasional mengadakan sidang khas penerangan lima hari untuk wakil rakyat di Parlimen dari 26 Julai hingga 2 Ogos.

Khairy adalah menteri ketiga yang memberi penerangan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, pada Isnin dan Selasa lalu. – 28 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen