HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor berada dalam keadaan mencemaskan yang membuktikan kerajaan mengecewakan rakyat, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Ahli Parlimen DAP berkata hospital itu menjadi neraka bagi pesakit Covid-19 dan barisan hadapan dengan kadar kemasukan yang tinggi, mobilisasi kakitangan yang rendah dan kekurangan peralatan perubatan.
“Saya membangkitkan masalah ini kepada Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) di Parlimen semalam dan beliau baharu saja berjanji akan meninjau keadaan di hospital,” kata Santiago.
“Janji sahaja tidak cukup, dan kita mengejar masa kerana sistem kesihatan awam akan runtuh pada bila-bila masa.”
Beliau berkata barisan hadapan di HTAR berasa terbeban kerana terpaksa bekerja selama 12 hingga 14 jam sehari dan beban kerja meningkat setiap hari apabila kes positif bertambah.
Selangor semalam melaporkan 6,616 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 380,593 sejak wabak bermula, menjadi ia negeri dengan jumlah kes dan kematian tertinggi di negara ini.
“Ibu mertua rakan yang dijangkiti dan dihantar ke HTAR duduk di luar Jabatan Kecemasan selama tiga hari tanpa mendapat rawatan perubatan. Beliau meninggal dunia pada hari berikutnya walaupun diberi sokongan ventilator,” katanya.
“Ini bukan satu-satunya kes. Banyak kes seperti itu tidak dilaporkan. Pesakit harus bergilir dan berkongsi ventilator dan tangki oksigen.”
Katanya, tiga pembantu perubatan ditugaskan untuk menjaga 200 pesakit sehari.
Kata Santiago ia sangat tidak berperikemanusiaan kerana pembantu perubatan perlu menyelesaikan rawatan penting pesakit dalam masa 15 minit.
“Kerajaan berjanji akan memindahkan lebih banyak pegawai perubatan dari negeri lain untuk membantu HTAR. Tetapi, malangnya, janji itu belum ditunaikan.
“Walaupun banyak wad dibuka, kekurangan staf di HTAR masih merupakan masalah yang penting, dan semakin buruk dan tidak terkawal.”
Santiago berkata kekurangan peralatan perubatan yang mencukupi, termasuk oksigen dan ventilator menyebabkan peningkatan jumlah kematian.
Beliau mendesak Adham segera memperuntukkan RM20 juta bagi setiap hospital di Lembah Klang untuk menamnah kemudahan ICU dan membeli lebih banyak ventilator serta tangki oksigen kerana setiap hospital di zon ini mengalami kekurangan kakitangan perubatan, ambulans, peralatan perubatan, kemudahan ICU dan katil.
“Kami juga memerlukan kerajaan responsif, menggerakkan dan meningkatkan jumlah kakitangan perubatan dengan segera. Ini termasuk doktor, jururawat, pembantu perubatan, dan lain-lain, ”katanya.
Beliau berkata sudah sampai waktunya kerajaan Perikatan Nasional yang menggelarkan diri sebagai “Kerajaan Prihatin”, menunjukkan kesungguhan menyokong barisan hadapan dan menyelamatkan nyawa rakyat.
Charles meminta Adham di Dewan Rakyat untuk melawat HTAR sekali lagi untuk melihat keadaannya sendiri. Beliau mendakwa keadaan kembali kepada asal selepas lawatan Perdana Menteri Muhyiddin dan Adham pada 13 Julai.
Hospital itu menjadi perhatian selepas pesakit Covid-19 ditemui terbaring di atas katil kanvas di luar Jabatan Kecemasan.
Video tular di media sosial yang memperlihatkan bekalan oksigen digunakan oleh beberapa pesakit sedangkan ia sebenarnya hanya untuk seorang pesakit.
Rakaman tersebut juga menunjukkan keadaan tertekan di hospital dengan pesakit terbaring merata-rata. – 28 Julai, 2021.
Komen