Sydney lanjut sekatan 4 minggu lagi


Sydney sepatutnya menamatkan sekatan lima minggunya pada 30 Julai, tetapi ia dilanjutkan hingga 28 Ogos kerana jumlah kes Covid-19 terus meningkat.– Gambar EPA, 28 Julai, 2021.

JUTAAN penduduk Sydney akan menjalani perintah sekatan selama satu bulan lagi, kata pihak berkuasa pada Rabu, susulan wabak koronavirus yang masih menular dan kadar vaksinasi yang rendah.

Bandar terbesar di Australia itu sepatutnya dibebaskan daripada sekatan lima minggu pada 30 Julai, tetapi ia dilanjutkan hingga 28 Ogos kerana jumlah kes terus meningkat.

“Saya sangat menghargai apa yang kami minta orang ramai lakukan selama empat minggu akan datang tetapi ini kerana kami ingin memastikan komuniti kita selamat dan ingin memastikan kita dapat bangkit secepat mungkin,” kata Perdana Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian. .

Pihak berkuasa mengumumkan 177 kes baharu berkaitan dengan wabak Sydney, yang bermula pertengahan Jun apabila seorang pemandu kru penerbangan antarabangsa dijangkiti virus itu.

Mereka yang tinggal di kawasan wabak digesa tidak meninggalkan kejiranan mereka, tetapi bagi yang tinggal sendiri diizinkan untuk membuat “gelembung tunggal” dengan orang lain.

Semasa sekatan, penduduk Sydney boleh meninggalkan kediaman mereka hanya untuk bersenam, pekerjaan penting, membeli barang keperluan seperti makanan, dan alasan perubatan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, polis memberikan denda kepada mereka yang melanggar larangan tersebut.

Berejiklian berkata polis akan meningkatkan usaha pematuhan, sambil meminta warga Sydney melaporkan jika ada orang lain melanggar peraturan.

“Kami benar-benar memerlukan orang ramai melakukan perkara yang betul setiap saat. Jangan  lalai,” katanya.

Australia dipuji kerana kejayaan mengawal pandemik pada awal, selepas tindakan menutup sempadan antarabangsa dan bergerak pantas mengekang kluster Covid-19.

Tetapi dengan populasi yang sebagian besarnya tidak divaksinasi, ia bergelut menangani varian Delta, yang berulang kali menyebabkan bandar itu ditutup.

Kira-kira 13% penduduk Australia diberi vaksin, dengan kekurangan bekalan Pfizer-BioNTech dan skeptikal mengenai operasi AstraZeneca memperlahankan usaha vaksinasi.

Negara ini mencatatkan lebih 33,000 jangkitan dan 921 kematian berkaitan Covid-19 dengan populasi 25 juta. – AFP, 28 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen