Pembangkang mahu Takiyuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan


Chan Kok Leong Alfian Z.M. Tahir

DUA ahli Parlimen pembangkang menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan Parlimen.

Usul ke atas Takiyyuddin merujuk kenyataan menteri hal ehwal undang-undang itu semalam berkaitan penamatan darurat yang tidak diwartakan secara rasmi.

Ahli Parlimen yang mengemukakan tuntutan tersebut, Mohamed Hanipa Maidin (Sepang-PH) juga merujuk kepada persoalan sama ada perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Takiyuddin memberitahu dewan, jemaah menteri pada 21 Julai memutuskan pembatalan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan semasa tempoh proklamasi darurat.

Namun sehingga sekarang tiada pemakluman rasmi atau pewartaan pembatalan ordinan darurat dalam warta kerajaan, katanya dalam surat kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

“Tindakan yang berhormat Kota Bharu tersebut satu pengeliruan terhadap dewan dan disifatkan satu penghinaan kepada majlis mesyuarat dan turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat,” katanya.

Takiyuddin selepas diasak ahli Parlimen ekoran kenyataan itu semalam hanya memberi jaminan untuk memberi penjelasan pada Isnin.

Usul sama turut diajukan oleh Gobind Singh (Puchong-PH) yang turut mahu Takiyuddin dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung kenyataannya yang mengelirukan dewan.

“Speaker juga mesti memutuskan apakah Dewan Rakyat boleh membahaskan isu ini,” kata bekas menteri penerangan itu sewaktu berucap selepas taklimat menteri mengenai pemberian vaksin.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon (Batu Pahat-PN) kemudian berkata Pejabat Speaker akan memberi maklum balas kemudian.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhak memutuskan setiap isu yang mempengaruhi kuasa dan hak istimewa Dewan dan berkuasa menggantung keahlian anggota dewan.

Ia antara lain dianggotai Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-PN), Mohamad Alamin (Kimanis-BN), Nik Muhamad Zawawi Salleh (Pasir Puteh-PN) dan Wilson Ugak (Hulu Rajang-GPS).

Jawatankuasa itu turut dianggotai Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya-PH) dan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) dan dipengerusikan oleh speaker. – 28 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen