Doktor mogok di Maeps disiasat polis walaupun menteri janji di Parlimen


Hartal Doktor Kontrak mengadakan protes di hampir semua hospital di seluruh negara pada Isnin mendesak diberikan jawatan tetap dan layanan adil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2021.

POLIS soal siasat 12 doktor di pusat kuarantin di Maeps, Serdang awal pagi ini walaupun menteri kesihatan memberikan jaminan di Parlimen semalam yang tiada tindakan akan diambil terhadap doktor yang menyertai protes pada Isnin.

Peguam Asheeq Ali Seth Alivi yang mewakili kumpulan “Hartal Doktor Kontrak” berkata beliau berada di pusat kuarantin itu hingga awal pagi tadi untuk memberikan khidmat nasihat guaman kepada doktor terbabit, tetapi tidak dibenarkan masuk.

“Polis tiba di Maeps pada 11.45 malam dan menyoal siasat doktor hingga 3.50 pagi.

“Semua doktor berkenaan sedang bertugas ketika mereka disoal,” kata Asheeq.

Beliau berkata polis datang susulan laporan dibuat pengarah Maeps, yang juga staf Kementerian Kesihatan, selepas sekumpulan doktor di pusat kuarantin itu menyertai protes mogok dianjurkan kumpulan Hartal berkenaan pada Isnin.

Di Parlimen semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi jaminan tindakan tidak akan diambil terhadap doktor yang menyertai protes pada Isnin.

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak pada 12.15 tengah malam semalam berkata polis tiba di pusat kuarantin Maeps untuk mengambil keterangan walaupun Dr Adham memberi jaminan tiada tindakan terhadap doktor yang menyertai mogok.

“Polis datang ke #Maeps tengah malam untuk ambil keterangan walaupun dikatakan tidak ada tindakan disiplin akan diambil. Kalau begitu kenapa kacau frontliner waktu tengah malam. Mereka bukannya berpesta di #Maeps,” kata kumpulan itu di Twitter. – 28 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen