Kes harian tidak boleh jadi petunjuk buka ekonomi, kata pakar kesihatan


Raevathi Supramaniam

Kerajaan perlu mencari keseimbangan antara nyawa dan mata pencaharian sebelum membuat keputusan membuka semula sektor ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

PUTRAJAYA perlu fokus kepada peratusan populasi yang divaksin dan jumlah pesakit Covid-19 kritikal menerima rawatan di kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh negara sebelum memutuskan untuk membuka semula ekonomi, kata pakar kesihatan dan persatuan perniagaan.

Mereka berkata tidak cukup bagi kerajaan jika hanya bergantung kepada angka harian kerana tiada tanda jumlah jangkitan harian akan menurun dalam waktu terdekat.

Pengusaha perniagaan berkata sudah tiba masanya kerajaan menerima hakikat yang Covid-19 bersifat endemik dan mencari jalan bagi membantu aktiviti ekonomi di bawah suasana baharu ini.

Namun, pakar kesihatan mengingatkan membuka kembali ekonomi sebelum memperoleh keseimbangan antara nyawa dan mata pencaharian akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan sistem penjagaan kesihatan yang sudah sangat terbeban.

Dr Kuljit Singh, pakar di Pusat Perubatan Prince Court berkata memastikan sebilangan besar penduduk dilindungi oleh vaksin harus menjadi keutamaan kerana ia akan membantu menurunkan jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan mencegah kematian.

Beliau mendesak Putrajaya menunggu sehingga proses vaksinasi diselesaikan sepenuhnya sebelum memutuskan untuk membuka kembali ekonomi.

“Kita sudah melihat contoh di luar negara. Apabila rakyat diberi vaksin sepenuhnya, jumlah pesakit Covid-19 di ICU dan kematian menurun,” kata Kuljit kepada The Malaysian Insight.

“Jumlah mereka yang dijangkiti mungkin tinggi, kerana kita juga melihat mereka yang divaksin masih dijangkiti virus tetapi tidak memerlukan ICU atau meninggal dunia.

“Malah bagi jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan, kita perlu melihat jenis pesakit yang sedang dirawat.

“Jika kebanyakannya adalah pesakit Kategori 1 dan 2, maka ia tidak perlu dibimbangkan, dengan syarat mereka tidak menjadi Kategori 3, 4 dan 5. Sekiranya anda diberi vaksin, kami dapati Kategori 1 dan 2 tidak bertukar kepada Kategori 3, 4 dan 5.”

Pesakit Kategori 1 tiada gejala sementara pesakit Kategori 5 adalah pesakit yang dirawat di ICU dan memerlukan sokongan pernafasan.

Beliau menambah merawat pesakit Covid-19 yang kritikal juga memberi kesan kepada kerajaan kerana kosnya akan menelan jutaan ringgit.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membebaskan negara daripada wabak Covid-19 bulan lalu.

Menerusi rancangan itu, sektor ekonomi akan dibuka semula secara berperingkat bergantung kepada tiga petunjuk, iaitu jumlah kes harian Covid-19, peratusan penduduk yang diberi vaksin sepenuhnya dan sistem penjagaan kesihatan tidak lagi berada dalam keadaan kritikal.

Bagi beralih ke Fasa 2, kes harian mestilah di bawah 4,000 dan 10% penduduk mesti diberi vaksin sepenuhnya. Fasa 3, kes mesti di bawah 2,000 dan 40% mesti diberi vaksin sepenuhnya dan Fasa 4, kes mesti di bawah 500. – 29 Julai, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen