Tentera Israel bunuh lelaki Palestin baru pulang kerja


Tentera Israel dilihat menyerang rakyat Palestin di Eviatar. Keganasan makin tegang di kawasan itu susulan berpuluh-puluh keluarga Israel mula menceroboh membina penempatan di Eviatar. – Gambar EPA, 28 Julai, 2021.

SEORANG lelaki Palestin terbunuh semalam dalam insiden tembakan di Tebing Barat, susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan tentera Israel yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu, kata pihak berkuasa Palestin.

Shadi Omar Lotfi Salim, 41, ditembak mati berhampiran perkampungan Beita di Palestin, kata kementerian kesihatan Palestin.

Timbalan Datuk Bandar Beita Mussa Hamayel berkata tentera Israel membunuh mangsa ketika beliau masuk ke kampung itu selepas pulang dari kerja.

“Beliau dibunuh dengan kejam,” katanya, menambah tidak ada protes berlangsung di kawasan itu pada malam tadi.

Tentera Israel mengeluarkan kenyataan berkata ketika menjalankan tugas rutin, tentera nampak seorang suspek rakyat Palestin di kawasan itu.

Beita sering dilanda keganasan sejak Mei apabila berpuluh-puluh keluarga Israel tiba dan mula menceroboh dengan membina penempatan di Eviatar, di kawasan bukit berhampiran Nablus, berdegil enggan patuh arahan dan undang-undang antarabangsa.

Selepas berminggu-minggu pertempuran dan ketegangan, kerajaan Perdana Menteri Israel Naftali Bennett membuat perjanjian dengan penceroboh dan mengarahkan mereka keluar dari Eviatar.

Tetapi tentera Israel kekal berada di Eviatar sehingga keputusan lain diambil.

Masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Yahudi di Tebing Barat adalah haram. – AFP, 28 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen