2 maut, 5 hilang insiden kilang kimia meletup di Jerman


Dua dilaporkan terkorban sementara lima yang lain masih hilang dalam insiden letupan di sebuah kilang kimia di barat Jerman. – Gambar AFP, 28 Julai, 2021.

DUA dilaporkan terkorban sementara lima yang lain masih hilang dalam insiden letupan di sebuah kilang kimia di barat Jerman.

Penduduk sekitar diarah tidak keluar rumah bagi mengelakkan terhidu asap hitam yang mungkin toksik di kawasan terbabit.

Polis berkata kira-kira 31 mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian di taman perindustrian Chempark di bandar Leverkusen itu termasuk lima daripadanya mengalami kecederaan serius.

Letupan kuat didengar hingga sejauh beberapa kilometer itu masih belum diketahui puncanya.

Aplikasi amaran NINA Jerman mengisyaratkan bahaya melampau kepada penduduk dan menggesa mereka menutup pintu dan tingkap serta menyimpan nombor kecemasan.

Letupan dilaporkan berlaku sekitar 9.40 pagi waktu tempatan di kawasan pelupusan sampah di daerah Buerrig, Leverkusen, menurut operator tapak, Currenta.

Kawasan terbabit terasing daripada taman perindustrian utama seperti Bayer, Lanxess dan Evonik.

Datuk Bandar Leverkusen Uwe Richrath berkata tragedi itu peristiwa malang bagi penduduk bandar terbabit.

“Taman permainan di Buerrig dan kawasan sekitar Opladen akan ditutup.

“Penduduk juga dinasihatkan tidak memakan sayuran dan buah-buahan di laman mereka untuk sementara waktu,” katanya.

Letupan dikatakan bermula pada tangki yang digunakan untuk menyimpan pelarut cecair sebelum ia dilupuskan, kata Friedrich.

Kebakaran besar itu memakan masa beberapa jam untuk dipadamkan, dengan pasukan bomba dari Cologne yang berhampiran dihubungi untuk membantu.

Friedrich berkata tiga daripada tangki simpanan dilaporkan musnah sepenuhnya atau sebahagian, sekali gus sukar untuk mengetahui di mana letupan bermula.

Sebilangan polis, bomba dan pasukan menyelamat serta pakar pengesan pencemaran dikerahkan ke tempat kejadian.

Twitter polis Cologne memaklumkan penutupan beberapa lebuh raya di kawasan terbabit susulan kerosakan teruk dan menggesa pengguna mengelakkan menggunakannya. – AFP, 28 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen