Suspek insiden tembak spa di Atlanta mengaku salah


Tragedi tembakan rambakan di spa di Atlanta mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di beberapa bandar utama sekita AS dan Kanada, membantah sikap perkauman anti-Asia. – Gambar EPA, 28 Julai, 2021.

SEORANG suspek yang dituduh menembak secara rambang di tiga spa di Atlanta hingga menyebabkan lapan maut mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan membunuh.

Pengakuan yang dibuat semalam itu bermakna suspek kini berdepan hukuman penjara sepanjang hayat, menurut media tempatan.

Hakim di Cherokee County, Georgia di mana lokasi salah satu spa berkenaan menjatuhkan empat hukuman penjara sepanjang hayat tanpa parol terhadap Robert Aaron Long, 22, selain hukuman tambahan penjara 35 tahun.

Atlanta Journal-Constitution melaporkan pengakuan bersalah itu membolehkan suspek mengelakkan hukuman mati.

Bagaimanapun, Long masih boleh dituduh bagi baki empat tuduhan membunuh di Fulton County, Atlanta, dengan pendakwa raya berkata pihaknya akan memohon hukuman mati selain menambah hukuman bagi jenayah kebencian.

Peguam bela Daran Burns memohon hakim di Cherokee County menerima pengakuan bersalah itu atas alasan Long kini memahami kesan tindakannya.

Long ditahan beberapa jam selepas melepaskan insiden tembakan rambang di tiga rumah urut Asia yang berbeza pada 16 Mac lalu di Atlanta dan kawasan sekitarnya serta mengakui melakukan jenayah itu.

Pendakwa Raya Fulton County Fani Willis dalam dokumen mahkamah berkata enam daripada lapan mangsa berketurunan Asia dan Long memilih mangsanya berdasarkan bangsa, asal-usul dan jantina.

Bagaimanapun, ketika soal siasat Long yang berkulit putih menafikan perbuatannya didorong sikap perkauman dan mendakwa mempunyai ketagihan seksual dan mahu “menghapuskan” godaan itu.

Tragedi itu turut mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di beberapa bandar utama sekita AS dan Kanada, membantah sikap perkauman anti-Asia. – AFP, 28 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen