AS boleh pindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis dalam setahun, kata Netanyahu 


Perdana menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan keyakinannya keduutaan AS boleh dipindahkan dari Tel Aviv dalam masa setahun.– Gambar EPA, 17 Januari, 2018.

PERDANA menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Rabu berkata dia percaya kedutaan Amerika Syarikat boleh dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dalam masa setahun, menurut laporan, yang mana ia bertentangan dengan kenyataan pegawai AS. 

“Kedutaan itu akan dipindahkan lebih cepat daripada yang kamu fikir, mungkin dalam setahun,” kata Netanyahu kepada pemberita pada lawatannya ke India, menurut media Israel. 

Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember tahun lalu dan mahu memindahkan kedutaannya ke bandar yang menjadi perebutan hingga mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan mendapat kecaman antarabangsa. 

Bagaimanapun, Setiausaha AS Rex Tillerson pada Disember berkata pemindahan kedutaan itu tidak akan berlaku dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun. 

Pengumuman Trump itu mencetuskan ketegangan di wilayah Palestin. 

Tujuh belas warga Palestin terbunuh sejak pengumuman Trump, kebanyakannya berpunca daripada pertempuran dengan tentera Israel. Seorang penduduk Israel turut terbunuh ketika itu. 

Pemimpin Palestin mengancam untuk menggantung pengiktirafan mereka kepada Israel sebagai tindak balas kepada tindakan Trump. 

Status Baitulmaqdis merupakan issu paling sensitif dalam konfik Israel-Palestin. 

Israel melihat seluruh bandar itu sebagai ibu negaranya, manakala rakyat Palestin mahu sektor timur dijadikan ibu negara mereka di masa akan datang. 

Israel menduduki timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat pada 1967 dalam Perang Enam Hari. Ia kemudiannya menduduki timur Baitulmaqdis yang mana tindakan itu tidak pernah diiktiraf antarabangsa. 

Tiada negara yang mempunyai kedutaan di Baitulmaqdis, sebaliknya meletakkannya di Tel Aviv. – AFP, 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen