.jpg)
TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat merisaukan. Jika dibenarkan berterusan, Malaysia akan menuju ke kancah “stealth authoritarianism”.
Keadaan di mana dalam waktu krisis, kerajaan menggunakan undang-undang mengikut citarasa mereka. Di kala mereka wajar lebih telus, mereka melakukan sebaliknya. Apalagi bila mereka menggunakan krisis untuk melemahkan pelbagai instrumen semak dan imbang.
Atau menggunakan krisis untuk mengukuhkan lagi kuasa eksekutif dan bukannya memberdayakan kepercayaan nasional melalui pelbagai kerjasama demokratik rentas politik dan ideologi.
Pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan semalam kepada saya adalah tidak berperlembagaan. Pembentangan Ordinan berkaitan Darurat telah dijadualkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen Khas. Namun secara tiba-tiba ia telah dibatalkan.
Semua dilakukan tanpa ketelusan. Tiada pengumuman rasmi, tiada pembentangan di Parlimen, tiada makluman dari Istana Negara dan pewartaan.
Parlimen bukan medan persendaan. Kerajaan PN menggunakan Parlimen hanya untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukan kepentingan nasional.
Ordinan Darurat dilaksanakan tanpa dibentangkan di Parlimen, tidak didebatkan dan pelaksanaannya tidak dapat disemak dan imbang oleh Parlimen. Pembatalannya juga hanya dimaklumkan di Parlimen.
Sejak bila Parlimen hanya menjadi ‘rubber stamp’ kepada keputusan Kabinet?
Umno telah melakukan tugasnya senafas dengan desakan rakyat. Menentang perisytiharan darurat, mendesak pembatalannya, mengembalikan persidangan Parlimen dan mengembalikan fungsi Perlembagaan.
Pendirian Umno yang konsisten ini telah meletakkan kerajaan PN dalam kedudukannya yang terdesak dan sangat rapuh.
Pembatalan Ordinan Darurat membuktikan kebenaran pendirian Umno bahawa darurat dari awal lagi adalah salah dan tidak perlu.
Umno ternyata betul bahawa menggantung Parlimen dan melumpuhkan Perlembagaan bukan caranya untuk menguruskan krisis. Natijahnya, Parlimen mula bersidang.
Pendirian Umno juga benar bahawa menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan negara memerlukan penglibatan semua dan bukan hanya tindakan eksekutif.
Semua ini meyakinkan Umno bahawa ia telah jadi suara pencerahan kepada Malaysia yang sedang gelap dan malap. – 27 Julai, 2021.
* Mohamad Hassan, timbalan presiden Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen