BADAN Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) pada Selasa berkata kedua-dua penguasa Israel dan Hamas melakukan jenayah perang semasa konflik pada Mei lalu, menyeru kejadian itu dimasukkan dalam siasatan yang sedang dibuat oleh penyiasat antarabangsa.
Konflik 11 hari itu menyaksikan pihak berkuasa Israel menyerang dan membunuh rakyat Palestin, selain Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin juga turut menyerang balas dengan menembak roket ke arah rejim itu.
Dalam laporan dikeluarkan pada Selasa, HRW mendakwa telah menyiasat tiga serangan Israel yang “membunuh 62 orang awam Palestin di mana tidak ada sasaran ketenteraan yang jelas di sekitarnya,” selain menemu ramah penduduk Palestin di Gaza dan menganalisis data dari laman web dan gambar digital.
Ia menyenaraikan serangan pada 10 Mei di Beit Hanoun, di kem pelarian Al-Shati pada 15 Mei dan serangan udara pada 16 Mei di Gaza sebagai tumpuan siasatannya. HRW turut berkata “serangan Israel lain semasa konflik juga salah dari segi undang-undang.”
Badan hak asasi itu juga merekodkan serangan roket “tanpa pilih bulu” oleh Palestin menyasarkan orang awam Israel, yang menurut HRW akan dimasukkan dalam laporan yang akan datang.
Serangan Israel dan Palestin “melanggar undang-undang perang dan sama dengan jenayah perang,” kata HRW.
Pendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada Mac mengumumkan siasatan penuh telah dibuka terhadap situasi di wilayah yang dijajah Israel itu.
Siasatan tertumpu pada Perang Gaza 2014 tetapi turut mengkaji kematian para demonstran Palestin dari 2018 dan seterusnya.
Bagaimana pun pada Mei lalu ICC berkata ia juga memantau konflik terbaharu sebagai sebahagian daripada siasatannya. – AFP, 27 Julai, 2021.
Komen