Setiausaha pertahanan AS lakukan lawatan sulung ke Singapura


Setiausaha Pertahanan AS Lloyd J. Austin III berada di Singapura untuk lawatan perkenalan, menurut Mindef republik itu. – Gambar EPA, 27 Julai, 2021.

SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd J. Austin III kini berada di Singapura untuk lawatan perkenalan, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) republik itu.

Beliau disambut dengan kawalan kehormat di kementerian itu pagi ini sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen, kata Mindef dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan itu, Mindef menyatakan Ng dan Austin mengulangi mengenai kerjasama dua hala yang baik dan sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak juga berpuas hati dengan kerjasama ketenteraan yang terus kukuh meskipun ketika pandemik Covid-19 melanda, kata kenyataan itu.

Ng dan Austin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik dan isu keselamatan serantau selain sepakat berhubung pentingnya penglibatan berterusan AS di rantau ini, kata kementerian itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu,  kedua-duanya bersetuju bahawa hubungan pertahanan dua hala itu berkembang kepada bidang kerjasama baharu seperti pertahanan siber serta bantuan kemanusiaan dan bencana.

Mindef menyatakan kementerian pertahanan Singapura dan AS mengadakan interaksi berkala melalui pertukaran tentera, latihan dan kursus bersilang, serta kerjasama teknologi pertahanan.

Kedua-dua kementerian pertahanan sejak sekian lama juga saling menyokong pasukan tentera masing-masing di negara mereka, katanya.

Pada 2019, kedua-dua negara memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) 1990 Mengenai Penggunaan Kemudahan AS di Singapura dan menandatangani MOU mengenai penubuhan Detasemen  Latihan Tempur Angkatan Udara Republik Singapura di Pangkalan Tentera Udara Andersen, Guam.

Awal tahun ini, kedua-dua pihak juga mengumumkan pemilihan Jabatan Pertahanan AS, dalam rundingan dengan Mindef untuk menjadikan Ebbing Air National Guard Base, Arkansas, sebagai lokasi pilihan untuk menjadi tuan rumah pesawat tempur F-35B RSAF, dan juga detasemen latihan tempur F-16 yang akan dipindahkan dari Pangkalan Tentera Udara Luke, Arizona.

Ini lawatan pertama Austin ke Singapura sejak menjadi setiausaha pertahanan AS, kata Mindef.

Beliau dijangka mengakhiri lawatannya pada esok. – Bernama, 27 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen