AFGHANISTAN menerima sumbangan 500 unit penjana oksigen dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan pesakit kritikal ketika negara ini sedang menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19.
Kementerian Kesihatan Awam berkata bantuan ini bakal menyokong sistem kesihatan negara yang semakin tenat akibat peningkatan kes di hospital awam, lapor Agensi Berita Anadolu (AA).
Timbalan Menteri Kesihatan Wazhma Salimi berterima kasih kepada WHO dan berikrar pengagihan secara adil akan dilakukan di beberapa wilayah yang mencatatkan kes jangkitan dan kematian Covid-19 yang tinggi.
Menurut WHO, sumbangan bernilai AS$800,000 itu tiba di hab logistik di Dubai untuk diedarkan ke hospital yang merawat pesakit Covid-19 melalui Kementerian Kesihatan.
Pada Februari, Afghanistan memulakan kempen suntikan vaksin Covid-19 keluaran India yang diluluskan WHO untuk kegunaan kecemasan, meskipun bergelut dengan kekurangan vaksin dan peralatan oksigen.
Afghanistan mencatat 35 kematian dan 594 kes baharu pada Isnin, menjadikan jumlah korban terkini sebanyak 6,515 dan jumlah jangkitan 145,008.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kadar vaksinasi di Afghanistan sangat rendah, dengan kurang dari empat peratus penduduknya menerima vaksin. – Bernama, 27 Julai, 2021.
Komen