7 etnik Rakhine maut ditembak polis Myanmar 


Seorang lelaki berjalan melintasi trak polis di wilayah bergolak Rakhine, Myanmar. Keganasan terbaharu menyebabkan tujuh orang terbunuh selepas ditembak polis.– AFP, 17 Januari, 2018.

TUJUH etnik Rakhine beragama Buddha maut selepas polis Myanmar melepaskan tembakan ke arah kumpulan yang mahu merampas pejabat kerajaan, menurut pegawai kerajaan pada Rabu di wilayah yang tercemar dengan kebencian etnik dan agama.

Insiden itu berlaku selepas sekitar 5,000 enganut Buddha berkumpul pada lewat Selasa untuk perhimpunan nasionalis di Mrauk U, sebuah pekan yang setakat ini tidak terjejas dengan serbuan tentera ke wilayah minoriti Islam Rohingya. 

Namun tidak dapat dipastikan punca sebenar keganasan itu tercetus. 

Namun etnik Rakhine, yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat miskin mempunyai permusuhan dengan kerajaan Myanmar yang didominasi etnik Bamar. 

Pertempuran itu berlaku pada hari yang sama perjanjian pembebasan ditandatangani antara Myanmar dan Bangladesh untuk memulakan penghantaran semula 650,000 pelarian Islam Rohingya daripada kem di sempadan negara itu. 

Rakhine mengatakan Rohingya merupakan pendatang haram “Bengali” ke tanah Buddha. 

Jurucakap polis bagaimanapun menyalahkan kumpulan itu kerana “memulakan keganasan” dengan membaling batu dan menceroboh pejabat pentadbiran daerah dan mengangkat bendera negeri Rakhine. 

“Pasuka keselamatan telah mengarahkan mereka bersurai dan melepaskan tembakan amaran dengan peluru getah…Namun mereka enggan berhenti, jadi polis terpaksa menggunakan peluru hidup,” kata jurucakap Kolonel Myo Soe kepada AFP. 

“Tujuh orang terbunuh dan 13 cedera,” katanya dan menambah lebih 20 polis dicederakan oleh kumpulan berkenaan, yang mahukan “kedaulatan negeri Rakhine”.

Hospital negeri di Sittwe merawat lima orang yang tercedera akibat tembakan, kata doktor kepada AFP. 

Insiden tembakan itu menyemarakkan lagi ketegangan yang sedia ada di kawasan yang bergolak di Myanmar. 

“Tindakan mereka menggunakan senjata api tidak boleh dimaafkan,” kata ahli Parlimen Mrauk U, U Hla Saw dari Parti Nasional Arakan, yang mengesahkan angka kematian dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai “perlakuan jenayah”.

Menurut saksi Nyi Nyi Khant, 29, pertempuran itu boleh dihalang sekiranya polis campur tangan lebih awal.

“Polis mempunyai masa untuk sedia menghentikan kumpulan tu sebelum mereka sampai ke pejabat terbabit. Mereka boleh halangnya tetapi mereka tidak lakukan,” katanya kepada AFP. – AFP, 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen