PM dan seluruh Kabinet perlu letak jawatan


BEBERAPA kali saya bangun di Dewan Rakyat senakan untuk berucap tetapi tidak diberi peluang  oleh speaker dan juga timbalan speaker.

Saya ingin berucap ringkas saja iaitu tentang perkara perdana menteri dan menteri-menterinya yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, saya mengambil ruang melalui media untuk menzahirkan pendirian saya supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan serta merta.

Alasan saya seperti berikut.

Isu pokok yang ingin saya bangkitkan ialah perkara yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin menyatakan di Dewan Rakyat pagi semalam semua Ordinan Darurat yang dibuat semasa Proklamasi Darurat bermula pada 12 Januari, 2021  dibatalkan oleh Kabinet pada  21 Julai, 2021.

Ini satu pengumuman besar oleh de facto menteri undang-undang di dalam Dewan Rakyat di mana perdana menteri hadir sama mendengarnya. Saya juga hadir di Dewan Rakyat ketika itu dan mendengar pengumuman Takiyuddin.

Apakah kenyataan Takiyuddin itu benar? Ini perlu dijawab oleh perdana menteri.

Pembatalan Ordinan Darurat terletak dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. Permasyhuran segala Proklamasi Darurat dan semua Ordinan Darurat dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong.

Persoalannya, kenapakah tidak ada permasyhuran pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut oleh Yang di-Pertuan Agong?

Saya berharap pada sesi petang semalam, perdana menteri selaku ketua jemaah menteri atau Kabinet akan menjawab dan memberi penjelasan tentang kenyataan Takiyuddin. Tetapi perdana menteri tidak muncul di Dewan Rakyat pada sesi petang.

Mengapa pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang penting itu tidak dilakukan sendiri oleh perdana menteri? Jika tiada penafian daripada perdana menteri, ia membawa makna kenyataan Takiyuddin itu adalah benar.

Soalan selanjutnya, adakah Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan oleh perdana menteri akan hasrat Kabinet untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?

Adakah perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?

Kalau jawabannya ya, persoalan berikutnya, adakah Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani   sebarang dokumen atau surat memberi perkenan Baginda terhadap pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?

Rakyat seluruh negara yang ditangkap, dilokap, di hantar ke penjara, disaman, dikompaun, dikuarantin, dan segala macam sekatan, larangan di bawah PKP dan Ordinan Darurat inginkan penjelasan Muhyiddin dan Kabinetnya.

Jika sejak 21 Julai segala Ordinan Darurat itu dibatalkan tetapi dirahsiakan pembatalannya sehingga semaam baru didedahkan di Parlimen, apakah punca kuasa yang ada pada kerajaan Perikatan Nasional untuk menjalankan pentadbirannya dari tempoh 21 Julai sehingga 1 Ogos (apabila Proklamasi Darurat itu tamat)?

Apakah implikasi undang-undang terhadap tindakan, perlakuan, keputusan yang kerajaan atau pegawainya, kakitangan awam, atau agensi kerajaan yang ambil di bawah Ordinan-Ordinan Darurat sejak 21 Julai itu hingga hari ini tetapi hakikat sebenarnya Ordinan itu dibatalkan?

Adakah tindakan kerajaan itu sah? Adakah menurut undang-undang?

Ini semua menuntut jawapan daripada perdana menteri.

Kalau sesungguhnya benar apa yang diumumkan Takiyuddin semua Ordinan Darurat dibatalkan sejak 21 Julai, maka saya ingin bertanya kenapa tidak ada dokumen pembatalan ordinan darurat itu dibentangkan di Parlimen?

Kalau sungguh apa yang dikatakan Takiyuddin itu benar semua Ordinan Darurat itu dibatalkan, bolehkah menteri yang berkenaan nyatakan bilakah Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut diwartakan di dalam Warta Kerajaan? Jika ada, bila tarikh Warta Kerajaan tersebut?

Ini perkara besar, perkara perundangan berkenaan darurat yang menyentuh kehidupan jutaan rakyat, yang tiga kali mengalami lockdown atau PKP Penuh. Ramai yang hilang pekerjaan dan keruntuhan perniagaan akibat perintah PKP di bawah pelbagai Ordinan Darurat.

Hal ini juga bersangkut paut dengan Perlembagaan Persekutuan. Setiap perdana menteri, menteri dan semua ahli Parlimen dikehendaki mengangkat sumpah berikrar mempertahankan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-Undang Tubuh bagi Malaysia.

Sistem demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan di Malaysia meletakkan Perlembagaan Persekutuan itu di kedudukan yang tinggi.

Jika Takiyuddin didapati mengelirukan Parlimen, maka beliau perlulah mengambil tindakan terhormat dan bermaruah dengan meletakkan jawatan.

Jika enggan maka, paling tidak de facto menteri undang-undang itu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk diambil tindakan.

Sebaliknya jika apa yang dikatakan Takiyuddin itu benar, maka ia kesilapan besar jemaah menteri dan perdana menteri di bawah undang-undang Perlembagaan.

Dan jika Yang di-Pertuan Agong tidak dimaklumkan, tidak dirundingi, tidak diminta perkenan baginda untuk pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut, maka ini suatu perbuatan pelanggaran Perlembagaan oleh perdana menteri dan seluruh jemaah menteri.

Jika itu yang sebenarnya berlaku, maka di bawah prinsip tanggungjawab bersama, maka jalan terhormat dan bermaruah yang perlu diambil menteri dan perdana menteri tidak lain dan tidak bukan, hanya satu, iaitu meletakkan jawatan. – 27 Julai, 2021.

* Hassan Abdul Karim ialah ahli Parlimen Pasir Gudang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen