Aktivis sosial Heidy Quah akan didakwa di mahkamah esok


Pengasas Refuge for the Refugees itu berkata , beliau akan didakwa di Mahkamah Khas Siber di Jalan Duta, Kuala Lumpur di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyiarkan kenyataan mengenai layanan yang diterima oleh tahanan imigresen. – Gambar Facebook, 26 Julai, 2021.

AKTIVIS sosial Heidy Quah akan didakwa di mahkamah esok atas satu hantarannya di Facebook mengenai layanan teruk terhadap tahanan di depot imigresen.

Pengasas Refuge for the Refugees itu berkata , beliau akan didakwa di Mahkamah Khas Siber di Jalan Duta, Kuala Lumpur di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata hantaran Facebooknya pada 5 Jun 2020 itu dibuat ketika imigresen membuat serbuan dan tangkapan besar-besaran terhadap pelarian danpendatang ketika pandemik.

“Perkongsian saya di Facebook itu bertujuan untuk menyoroti keperihatinan saya mengenai keadaan di pusat tahanan imigresen dan bahaya yang akan terjadi apabila menghantar ramai orang ke pusat tahanan imigresen yang umum tahu sesak dan kotor.

“Sebelum saya berada di mahkamah esok, saya tegaskan sekali lagi – apa yang saya katakan itu ada asas kukuh.

“Sebenarnya, laporan tahunan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) mencerminkan keprihatinan saya ketika itu, dan juga sekarang; standard kebersihan buruk di depot, salah guna, aniaya, pengabaian, dan sanitasi yang teruk, semuanya boleh meningkatkan risiko jangkitan dan penyakit berjangkit lain. Ia sesuatu yang memang kita tak mahu, terutama semasa pandemik global ini,” kata Quah malam ini.

Berikutan hantaran di Facebooknya pada tahun lepas, Quah disiasat namun dibenarkan meneruskan kerja-kerja sosialnya, seperti memberi bantuan makanan kepada 700 sehingga 1,000 keluarga setiap minggu. 

“Keluarga-keluarga ini bukan merangkumi pelarian dan pendatang sahaja, tetapi golongan B40 tempatan kita juga, yang hilang pekerjaan akibat pandemik dan sekatan pergerakan.

“Disebabkan kes harian cecah rekod tertinggi, sangat sedih dan mengecewakan apabila sumber kerajaan digunakan untuk siasat saya sedangkan mereka patut tumpu kepada Parlimen, pandemik dan rakyat.

“Walaupun tuduhan ini menggugat saya, namun saya akan terus berani esok. Saya tidak akan ditekan kerana bersuara,” katanya. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen