Sidang khas Parlimen hanya helah, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir Mohamad berkata pengisytiharan darurat dan juga Pelan Pemulihan Nasional tidak dibincangkan semasa sidang khas Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

PERSIDANGAN Parlimen hari ini hanya mesyuarat dan bukan sidang sebenar kerana perbahasan tidak dibenarkan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mengecam sidang Parlimen khas melalui sidang media maya, Dr Mahathir berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya ingin untuk terus berkuasa.

“Ia hanya pertemuan di Dewan Rakyat dan sesi penerangan. Ia bukan sidang Parlimen kerana tidak ada perbahasan.

“Pengisytiharan darurat dan juga Pelan Pemulihan Nasional tidak dibincangkan.

“Ahli Parlimen tidak diizinkan untuk mengundi. Mereka tidak boleh menerima, menolak atau meminda,” kata ahli Parlimen Langkawi yang berusia 96 tahun itu.

Beliau berkata jelas kerajaan hanya ingin untuk terus berkuasa dan tidak berminat mengenai kehilangan nyawa dan mata pencarian kerana pandemik Covid-19.

“Persidangan Parlimen khas hari ini tidak cukup baik,” tambah Dr Mahathir.

Perbahasan dan mengundi tidak termasuk dalam agenda sidang Dewan Rakyat lima hari itu kerana kerajaan tidak membentangkan sebarang rang undang-undang.

Ahli Parlimen pembangkang hari ini mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan kerana tidak membentangkan proklamasi darurat dan ordinan di Parlimen, mengikut dengan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, untuk dibahaskan oleh ahli Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun juga disebut “pengikut setia kerajaan” kerana tidak membenarkan usul oleh ahli Parlimen yang menuntut hal yang sama.

Sebaliknya, Takiyuddin mengumumkan ordinan yang dikeluarkan semasa darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai. 

Beliau juga berkata kerajaan memutuskan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan perisytiharan darurat baharu ketika ia berakhir pada 1 Ogos. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen