Kerajaan tidak berpeluk tubuh biar rakyat derita, kata PM


Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan pimpinannya tidak sempurna, tetapi ia juga tidak berpeluk tubuh dan membiarkan rakyat menderita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan sudah bertindak menyelamatkan nyawa dengan menangani krisis Covid-19, menawarkan naratif yang sangat berbeza berbanding apa yang ditunjukkan oleh statistik harian.

Muhyiddin mengakui kerajaannya tidak sempurna, tetapi ia juga tidak berpeluk tubuh dan membiarkan rakyat menderita.

Beliau mendesak pembangkang untuk bersama kerajaan yang sedang berusaha menangani wabak tersebut.

“Tidak perlu menuding jari. Rakyat di luar sana menderita, sementara barisan depan dan hospital masih berada dalam tekanan,” kata Muhyiddin dalam ucapannya di Parlimen hari ini.

“Benar, kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.”

“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usaha sama. Bulat air kerana pembetung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Perdana menteri seterusnya memberitahu anggota Parlimen yang Malaysia adalah satu daripada negara dengan kadar vaksinasi Covid-19 tertinggi, sambil menambah negara pada masa ini dapat memberi lebih 500,000 suntikan sehari.

Beliau menambah cara paling berkesan bagi Malaysia untuk mengatasi krisis Covid-19 adalah dengan meningkatkan kemampuan vaksinasi bagi menyuntik lebih banyak orang.

“Kerajaan faham bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan).

“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi,” katanya.

Semalam, jumlah kes Covid-19 melepasi angka satu juta apabila melaporkan kes sebanyak 17,045, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,013,438.

Selangor menyumbang sebahagian besar jangkitan dengan 8,500 kes. Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 2,045 kes, dan Kedah dengan 1,216 kes.

Negara turut melaporkan 92 kematian semalam, menjadikan angka kematian sebanyak 7,994 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham memberitahu Sinar Harian semalam yang Malaysia akan mencapai puncak penularan Covid-19 pada pertengahan September dengan 24,000 kes sehari.

Beliau berkata berdasarkan unjuran yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan denga kadar kebolehjangkitan (RT) diramal pada 1.2.

Noor Hisham menambah kes diunjurkan akan terus meningkat, dengan jumlah yang dijangkakan sebanyak 17,000 kes setiap hari pada pertengahan Ogos.

Bagaimanapun, jangkitan harian dijangka turun di bawah 1,000 menjelang Oktober, katanya. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen