Kontraktor, jurutera daerah antara enam dicekup SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

ENAM individu termasuk seorang jurutera daerah dan dua penolong jurutera sebuah agensi pusat di Johor ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor, kata agensi antirasuah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, jurutera daerah dan dua penolong jurutera ditahan dalam satu operasi di sekitar Johor awal pagi semalam.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, suspek tersebut yang masing-masing berusia 38, 44 dan 31 tahun.

“Tiga orang kontraktor yang terlibat juga turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa memberi rasuah kepada ketiga-tiga suspek bagi mendapatkan projek yang ditawarkan oleh agensi berkenaan di sebuah daerah di Johor sejak tahun 2018.

“Kontraktor terbabit dipercayai mengawal 11 syarikat yang didaftarkan atas nama mereka dan juga proksi untuk membolot projek agensi berkenaan yang ditawarkan di daerah tersebut,” katanya.

Sumber berkata, projek yang dimonopoli sejak tahun 2018 hingga kini mencecah jutaan ringgit.

“Pelbagai bentuk suapan rasuah telah diberikan kepada ketiga-tiga suspek termasuk pakej percutian, wang tunai dan barang berharga termasuk sebuah bot.

Pengarah Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, semua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk permohonan reman.

“Lima orang suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini manakala seorang suspek diluluskan reman selama lima hari sehingga 30 Julai 2021,” katanya. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen