Azhar memalukan, dikawal kerajaan, kata Ramkarpal  


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membidas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, menuduhnya memalukan Parlimen dan mendesak agar letak jawatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2021.

SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun perlu meletakkan jawatan kerana membenarkan eksekutif mengatasi kuasa Parlimen, kata Ramkarpal Singh. 

“Tuan Speaker telahpun tidak membawa ordinan dan proklamasi tersebut ke Dewan ini. Kenapa?” soal ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor di Dewan Rakyat hari ini. 

“Adakah yang berhormat dikawal kerajaan? Yang berhormat memalukan Parlimen dan tidak layak untuk duduk di kerusi itu. Yang berhormat perlu letak jawatan sebagai speaker Dewan Rakyat.

“Adakah tuan menerima arahan daripada kerajaan untuk tidak membawa perkara-perkara tersebut ke Dewan? Jika ini agenda yang berhormat, letak jawatan atau kami akan kemuka usul barang kali untuk meminta tuan speaker melepaskan jawatan,” tambahnya.

Ramkarpal dan beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan Azhar mengapa proklamasi darurat dan ordinan di bawahnya tidak dibawa ke sidang Dewan sebelum ia diumumkan pada 11 Januari. 

Bekas perdana mentero Dr Mahathir Mohamad (Langkawi-Pejuang) turut membidas kerajaan Perikatan Nasional kerana tidak membenarkan persidangan Parlimen lebih awal. 

“Ini bukan sidang Parlimen yang dititahkan oleh Raja-Raja Melayu dan Agong. Kita faham bahawa Agong teah menitahkan Parlimen untuk bersidang secepat mungkin tetapi kerajaan tidak buat.

“Ribuan rakyat terjejas setiap hari dan ratusan kematian. Agong titahkan Parlimen untuk bersidang kerana masalah itu tetapi kerajaan mengambil masa yang lama dan cuba menipu dunia dengan mengadakan takimat dan memanggilnya persidangan,” kata ahli Parlimen berusia 96 tahun itu. 

Daripada membenarkan Parlimen untuk bahaskan Pelan Pemulihan Negara, Dr Mahathir berkata apa yang kerajaan lakukan hanya berikan taklimat. 

“Kami tidak mahu taklimat tetapi mahu berbahas mengenai apa yang perlu dibuat. Tetapi ini tiada dalam Peraturan Mesyuarat. Adakah kita patut dengar rancangan mereka yang terbukti tidak berkesan,” kata Dr Mahathir. 

Ahli Parlimen lain yang turut mempersoalkan mengapa Parlimen tidak membenarkan Proklamasi Darurat didibahaskan di Parlimen adalah William Leong (Selayang-PH), Mahfuz Omar (Pokok Sena-PH), Shafie Apdal (Semporna-Warisan), Gobind Singh (Puchong-PH) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH). 

Menurut Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, Proklamasi Darurat dan ordinan di bawahnya perlu diluluskan di Parlimen.

Berikutan Proklamasi Darurat pada 11 Januari, Parlimen bersidang buat pertama kalinya tahun ini untuk sidang khas bermula 26 Julai hingga 2 Ogos. 

Walaupun kerajaan membenarkan Parlimen untuk kembali bersidang, ia tidak membenarkan Proklamasi Darurat dan ordinannya dibahaskan. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen