Hartal Doktor Kontrak bermula di Hospital Sungai Buloh


Berpakaian hitam, kumpulan doktor muda mengadakan mogok Hartal Doktor Kontrak di Hospital Sungai Buloh hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Julai, 2021.

PROTES Hartal Doktor Kontrak dbermula dengan kira-kira 50 pegawai perubatan yang bergerak keluar dari Hospital Sungai Buloh yang merupakan pusat rawatan Covid-19 utama negara.

Protes seluruh negara itu bermula tepat jam 11 pagi dengan kumpulan doktor berpakaian hitam tersebut berarak dan membawa poster dengan slogan “Kami pakar masa depan”.

Pergerakan itu diawasi pasukan polis yang menghalang peserta hartal tersebut bercakap kepada wartawan petugas media yang membuat liputan dan pihak berkuasa turut mengunci pagar hospital.

Tindakan serupa dilakukan pasukan polis sewaktu mengawasi pergerakan doktor kontrak yang menyertai hartal di Hospital Kuala Lumpur.

Polis yang bertugas di kawasan itu meminta seramai kira-kira 50 orang doktor yang menyertai hartal tersebut bersurai pada jam 11.30 pagi.

Hartal berkenaan turut disertai doktor kontrak di Hospital Shah Alam dan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Salah seorang doktor yang bercakap kepada wartawan memberitahu, protes berkenaan sekadar untuk menuntut hak mereka secara hormat.

“Beri kami jawatan tetap, hak sama rata, kami hormat kerajaan tetapi kami juga perlu rasa selamat. Kami tidak mahu berhenti tetapi mahu KKP beri kami layanan sama rata.

“Ada yang tidak dapat menyertai protes hari ini tetapi ada kira-kira 40 doktor hari ini turut serta di Shah Alam,” kata doktor itu.

Di Kuala Terengganu, seorang doktor muda dengan nama Dr Amirah berkata, beliau yakin hartal hari ini turut disokong lebih 200 doktor kontrak yang ditempatkan di seluruh negeri itu.

“Mungkin mereka ada kekangan tak boleh tinggal wad tapi kami pasti mereka beri solidariti kepada kami dan sokong tujuan hartal.”

“Idea hartal ini bukanlah untuk mogok secara kasar atau keras kita cuba untuk mencari jalan damai tapi beri sedikit tekanan kepada pihak berwajib untuk fikir cara selesaikan masalah di bawah ini.”

Jelasnya, tuntutan itu bagi mencorakkan sistem kesihatan supaya dapat bertahan di masa hadapan.

“Bagaimana sistem kesihatan negara kita dalam 10 atau 20 tahun akan datang? Bagaimana kita akan dirawat?

“Adakah kita mampu biayai sistem kewangan sekiranya semua gunakan wang dan pergi ke swasta daripada hospital kerajaan.”

Dr Amirah berkata beliau tidak takut dengan risiko ditamat kontrak kerana menyertai mogok berkenaan kerana sudahpun menerima surat menyatakan tempoh kontraknya.

“Kontrak saya sehingga bulan Julai tahun lepas dan kemungkinan tidak disambung,” katanya yang berkhidmat dalam kohort penjawatan sejak Disember 2016.

Tempoh jawatan kakitangan perubatan dalam kumpulan itu kini hanya tinggal berapa bulan saja lagi sekarang sebelum kontrak tamat.

“Kumpulan mereka ini memiliki saat genting untuk memikirkan masa depan sama ada meneruskan kerjaya di kerajaan membantu masyarakat secara rel.

“Atau mungkin terpaksa cari kerjaya di swasta atau universiti lain. Yang kami mahu satu saja perancangan yang jelas supaya kami boleh tentukan masa depan kami,” katanya.

Katanya beliau juga sudahpun meneliti pengumuman perdana menteri pada Jumaat lalu yang menawarkan lantikan dua tahun lagi selepas doktor kontrak lengkap tempoh khidmat wajib.

Namun beliau kesal kerana Kementerian Kesihatan masih tidak menjelaskan garis panduan pelaksanaannya.

“Yang kami mahu, jawatan tetap. Nukan diberi kontrak terus-terusan. Yang kami mahu tahu, apa kriteria sebenar bagi mereka memasukkan kami dalam jawatan tetap.”

Di Hospital Seremban pula, hartal tersebut disertai kira-kira 30 doktor berpakaian hitam.

Hartal di Hospital Selayang yang juga menjadi hospital Covid-19 tamat pada 11.25 pagi, diikuti kumpulan doktor di Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 11.30 pagi.

Doktor di Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu seterusnya bersurai pada kira-kira jam 11.45 pagi.

Sekumpulan 30 orang doktor kontrak di Hospital Seremban juga cekal meneruskan hartal dalam keadaan hujan lebat.

Seorang peserta bernama Dr Muhammad berkata, protes itu bagi menjelaskan tuntutan untuk mendapatkan jawatan tetap di hospital.

“Kami menghabiskan bertahun-tahun untuk pengajian dan kini hanya berkhidmat sebagai doktor kontrak.

“Kami tidak boleh dilayan sebegini. Sasaran dan mesej kami jelas. Kami mahu jawatan tetap,” katanya.

Kumpulan doktor kontrak itu mendapat arahan bersurai dari pasukan polis pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Penganjur hartal di hospital tersebut yang dinamakan sebagai Dr Deeban dipanggil ke pejabat pengarah hospital sebelum protes bermula.

Gerakan hartal itu dalam memorandumnya menuntut tawaran pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.

Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan lanjutan dua tahun kontrak lagi kepada pegawai berkenaan.

Pada 13 Julai, beliau menyebut tuntutan jawatan tetap berkenaan akan menyebabkan kerajaan menanggung kos RM2 bilion.

Doktor berkenaan merupakan antara petugas barisan hadapan paling utama yang sedang menangani kes Covid-19 dalam negara, yang kini berjumlah lebih 1 juta pesakit. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen