BAS dan kereta tersadai selepas jalan raya di sekitar London dinaiki air semalam, dengan ribut petir melanda ibu kota Britain itu.
Datuk Bandar Sadiq Khan menerusi Twitter berkata perkhidmatan kecemasan sudah dikerahkan, menambah perkhidmatan pengangkutan awam terjejas dan menasihatkan orang ramai mengelak berjalan kaki atau memandu di kawasan banjir.
Pengguna media sosial memuat naik gambar kenderaan tenggelam di London, dengan hujan lebat diramalkan berlaku dengan ribut petir di seluruh tenggara England.
Pejabat meteorologi memberi amaran cuaca tidak menentu di seluruh London dan daerah berhampiran hingga 7 malam waktu tempatan.
Katanya, diramalkan ribut petir dan banjir dengan hujan lebat di sesetengah kawasan.
Polis menutup jalan di sekitar stesen Queenstown Road di London, di mana tiga bas dua tingkat tersekat di bawah jambatan landasan kereta api.
Seorang pemandu berkata penumpang terpaksa turun bas dan meredah banjir.
Kebanyakan pemandu di Walthamstow terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing apabila air naik.
Polis turut memberi amaran terowong dan bulatan di jalan raya turut tenggelam. – AFP, 26 Julai, 2021.
Komen