Parlimen Perancis lulus undang-undang wajibkan pas kesihatan


Pengunjung muzium, pawagam dan kolam renang di Perancis sebelum ini diwajibkan mempunyai pas yang menunjukkan mereka sudah disuntik vaksin atau diuji negatif jangkitan Covid-19. – Gambar EPA, 26 Julai, 2021.

PARLIMEN Perancis hari ini meluluskan rang undang-undang yang mewajibkan penggunaan pas kesihatan untuk sebahagian besar kegiatan sosial ketika republik itu kini bergelut menangani gelombang keempat penularan Covid-19, lapor Reuters.

Pengunjung muzium, pawagam dan kolam renang sebelum ini sudah diwajibkan mempunyai pas yang menunjukkan mereka sudah disuntik vaksin atau diuji negatif jangkitan Covid-19.

Pas sama juga diwajibkan untuk menghadiri temasya dan masuk ke kelab hiburan.

Mulai bulan depan, penggunaan pas itu akan diperluaskan untuk masuk ke restoran dan bar serta bagi perkhidmatan pengangkutan awam seperti keretapi antara bandar dan kapal terbang.

Peraturan itu terkandung dalam rang undang-undang yang berkuat kuasa sehingga 15 November ini.

Rang undang-undang itu perlu disahkan oleh mahkamah perlembagaan sebelum dikuat kuasa.

Perancis yang merekodkan lebih kurang 4,000 kes Covid-19 sehari pada Julai menyaksikan kes melonjak sehingga 22,000 sehari minggu lalu.

Seperti banyak negara lain, Perancis juga sedang berhadapan penularan varian Delta yang lebih cepat merebak.

Pihak berkuasa Perancis juga sedang meningkatkan usaha memberikan vaksin kepada semua penduduknya, termasuk mengesan mereka yang sehingga ini belum mendapatkan janji temu untuk suntikan.

Setakat semalam, hampir separuh daripada 67 juta penduduk Perancis sudah mendapat dua dos suntikan, atau sekurang-kurangnya satu dos, dan masih jauh lagi untuk mencapai imuniti kelompok 8o% divaksin. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen