Suspek cuba bunuh presiden Mali, maut dalam tahanan


Presiden sementara Mali Assimi Goita muncul di televisyen selepas insiden serangan cubaan bunuh terhadapnya minggu lalu. – Gambar EPA, 26 Julai, 2021.

SEORANG lelaki yang dituduh cuba membunuh pemimpin tentera Mali, Assimi Goita yang juga tokoh di sebalik dua rampasan kuasa dalam tempoh kurang setahun, meninggal dunia dalam tahanan, kata kerajaan.

Suspek itu yang tidak didedahkan identitinya, ditahan susulan cubaan membunuh selepas solat Aidiladha di Masjid Bamako pada Selasa.

Selepas ditahan, kesihatannya merosot dan dimasukkan ke hospital, malangnya beliau meninggal dunia, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Menurut wartawan AFP yang ada di tempat kejadian pada Selasa lalu, Goita bergegas dibawa pergi selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau datang menerjahnya.

Pemimpin itu kemudian muncul di televisyen dan berkata beliau dalam keadaan baik dan tidak mahu memperbesarkan insiden serangan itu.

Pendakwa raya Mali melancarkan siasatan berhubung insiden berkenaan.

Semalam, kerajaan berkata bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian suspek. – AFP, 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen