CAC maya mampu kurangkan beban petugas kesihatan, kata pakar 


Bernard Saw

Pusat Penilaian Covid-19 secara maya juga akan membantu mengurangkan kesesakan di pusat penilaian sedia ada terutamanya di negeri yang merekodkan kes tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2021.

PUSAT Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya bagi menguruskan kes Covid-19 Kategori 1 dan Kategori 2 akan mengurangkan beban petugas kesihatan di kawasan yang terjejas teruk seperti Selangor dan Kuala Lumpur, kata pakar.

Menurut mereka penilaian secara maya mampu memantau 97% kes Covid-19 tidak bergejala dan bergejala ringan di seluruh negara, membolehkan petugas barisan hadapan memfokuskan kepada pesakit Kategori 3, 4 dan 5.

Mereka berkata dengan CAC maya, kerajaan boleh mengerahkan kakitangan perubatan dari negeri lain yang rendah kes Covid-19 untuk menyokong dalam talian.

“Kesihatan awam selalu fokus pada pemberdayaan, dan maju ke arah ini adalah model yang tepat kerana kita tidak dapat memantau semua orang.

“Penilaian dalam talian sebagai satu alat bukan sahaja berkesan malah lebih mampan berbanding penilaian bersemuka,” kata bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga tidak menafikan akan ada individu yang melanggar arahan kuarantin, namun ia boleh diatasi dengan mewujudkan sistem penguatkuasaan lebih adi dan berkesan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata mereka yang melakukan kesalahan tidak sepatutnya merungut mengenai denda yang tinggi dan hukuman yang mereka terima apabila tertangkap.

Sementara itu pakar virologi dari Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Chee Wai Yee berkata terdapat CAC di Kuala Lumpur yang sudah menjalankan penilaian secara dalam talian untuk pesakit Covid-19 yang serius.

Beliau menasihatkan agar penilaian turut dijalankan menerusi telefon bagi mereka yang tiada akses gajet elektronik, sebagai contoh warga emas yang mungkin tidak biasa dengan panggilan video.

Chee berkata berdasarlkan pengalaman, sekiranya kakitangan kesihatan di lapangan menemui pesakit yang sukar bernafas, mereka akan meminta lebih banyak maklumat seperti bacaan kadar oksigen dalam darah dengan oksimeter.

Tambahnya, kini sekiranya pesakit dalam Kategori 3 namun tidak menghadapi masalah sukar bernafas, kakitangan mungkin boleh aturkan untuk pesakit dibawa ke CAC.

Dan mereka yang mengalami kesukaran bernafas akan segera dipindahkan ke hospital dengan ambulans.

Chee berkata CAC maya juga akan membantu mengatasi kesukaran pesakit untuk mengetahui ke mana yang mereka perlu pergi untuk penilaian.

Beliau juga bersetuju CAC maya akan membantu menggerakkan kakitangan perubatan dari negeri lain yang mempunyai kes sedikit untuk menyokong secara dalam talian.

“Kerajaan boleh menggerakkan doktor dari hospital kerajaan, hospital pengajar, klinik dan lain-lain bagi membantu negeri yang lebih teruk terjejas,” kata Chee. – 28 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen