Sokongan kepada PM Jepun merosot


Sokongan terhadap Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga jatuh sembilan mata kepada 34%.– Gambar EPA, 26 Julai, 2021.

SOKONGAN terhadap Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga jatuh sembilan mata kepada 34%, yang terendah sejak beliau memegang jawatan September tahun lalu, lapor Reuters.

Kaji selidik akhbar harian bisnes Nikkei menunjukkan Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Tokyo tidak meningkatkan rating Suga menjelang pilihan raya umum tahun ini.

Kaji selidik itu dijalankan minggu lalu antara 23 hingga 25 Julai.

Hampir dua pertiga responden kaji selidik tidak berpuas hati dengan program vaksinasi Covid-19 yang dilakukan oleh kerajaan.

Program itu bermula lambat dan kemudian berhadapan dengan masalah bekalan, sementara hanya satu perempat penduduk Jepun yang sudah selesai disuntik vaksin.

Pentadbiran Suga berharap dapat mengekang penularan Covid-19, menganjurkan temasya Olimpik dengan jaya dan seterusnya mengadakan pilihan raya.

Pelan itu hancur apabila jangkitan baharu Covid-19 melonjak, membawa kepada perintah darurat keempat di Tokyo. Langkah itu memaksa Sukan Olimpik berlangsung tanpa penonton di hampir semua acara sukan yang dipertandingkan.

Tokyo merekodkan 1,763 kes baharu Covid-19 semalam, tiga hari selepas Olimpik dibuka.

Ada kebimbangan dalam kalangan banyak pihak kebanjiran atlet dan pegawai sukan dari serata dunia akan meningkatkan jangkitan Covid-19 di Tokyo.

Kaji selidik Nikkei juga menunjukkan 31% responden tidak setuju dengan penganjuran Olimpik sekarang dan berpendapat ia perlu dibatalkan atau ditangguh seperti tahun lalu.

Suga jadi perdana menteri menggantikan Shinzo Abe yang letak jawatan atas alasan kesihatan. Abe, perdana menteri Jepun paling lama, memegang jawatan hampir lapan tahun.

Pilihan raya Jepun perlu diadakan sebelum November ini selepas mandat kerajaan berakhir pada September. – 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen