Presiden Tunisia gantung Parlimen, pecat PM


Rakyat turun ke jalanan meraikan keputusan Presiden Tunisia Kais Saied memecat Perdana Menteri Hichem Mechichi. – Gambar AFP, 26 Julai, 2021.

PRESIDEN Tunisia Kais Saied semalam mengumumkan penggantungan Parlimen dan memecat Perdana Menteri Hichem Mechichi susulan insiden tunjuk perasaan terhadap parti pemerintah.

Bunyi hon kenderaan kendengaran sebagai menyambut pengumuman Saied selepas mengadakan mesyuarat tergempar di istananya.

Terdahulu, ribuan rakyat Tunisia turun ke jalanan untuk menyertai tunjuk perasaan di beberapa bandar dengan mendakwa parti pemerintah telah gagal, termasuk dalam menangani pandemik Covid-19 di negara Afrika Utara itu.

Di Tunis, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan Parlimen sambil melaungkan slogan bantahan terhadap parti pemerintah, Ennahdha dan Mechichi.

Tunjuk perasaan turut dilaporkan di bandar Gafsa, Kairouan, Monastir, Sousse dan Tozeur.

“Rakyat mahu Parlimen dibubarkan,” kata mereka.

Beberapa penunjuk perasaan ditahan, sementara seorang wartawan cedera apabila peserta demonstrasi melemparkan batu dan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata.

“Perlembagaan tidak membenarkan pembubaran Parlimen tetapi membenarkan ia digantung,” kata Saied sambil memetik Artikel 80 yang membolehkan tindakan itu diambil jika terdapat “bahaya bakal berlaku”.

Saied berkata beliau akan mengambil alih kuasa eksekutif dengan bantuan kerajaan diterajui pemimpin baharu yang dilantiknya sendiri.

Selain itu, katanya imuniti barisan timbalan di Parlimen juga akan ditarik balik.

Tunisia yang mempunyai populasi 12 juta penduduk sedang bergelut dengan penularan Covid-19 yang meragut lebih 18,000 nyawa, setakat ini.

Sementara itu, parti Ennahdha membidas keputusan Saied.

“Tindakan Saied adalah rampasan kuasa negara terhadap revolusi serta Perlembagaan. Ahli Ennahdha dan rakyat Tunisia akan mempertahankan revolusi,” kata parti itu di Facebook. – AFP, 26 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen