TUNGGUL kayu pokok berusia berpuluh tahun yang terbiar di kawasan bukit dan rimba mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara komersial.
Warga emas, Abd Rahman Mahmod, 78, dari Kampung KEDA Keledang Tawar, Baling, Kedah, meraih pendapatan dengan membeli dan menjual tunggul kayu untuk dijadikan sebagai hiasan dalaman, hiasan di halaman rumah dan premis perniagaan.
Abd Rahman berkata tunggul dan teras kayu yang dikumpul itu dibeli daripada pencari kayu dan ia merupakan pendapatan sampingan buat beliau dan keluarga jika tidak dapat menoreh getah terutama pada musim tengkujuh.
Katanya tunggul dan teras kayu yang dijualnya merupakan daripada jenis kayu yang sukar reput seperti Bayam Badak, Merbau, Cengal Emas, Tempinis, Kayu Jentik dan Sarsi.
Di kedainya kini terdapat lebih 300 tunggul dan teras kayu yang dikumpulnya sejak 2006 dan beliau bercita-cita meluaskan perniagaan kerana peminat dan permintaan yang semakin bertambah.
Abd Rahman menawarkan harga serendah RM10 bagi tunggul dan teras kayu kecil untuk diikat pokok orkid hutan dan harga tertinggi RM1,500 untuk tunggul pokok kayu Merbau.
Harga ditetapkan berdasarkan kepada bentuk rupa tunggul dan saiznya, katanya.
“Peminat teras kayu yang membelinya daripada saya, begitu kagum dengan bentuk semula jadi kayu terutama perdunya yang terbentuk dengan pelbagai gaya dan mengkagumkan,
“Bentuk urat dan ukiran pada kayu lama ini akibat hakisan waktu menjadi begitu indah dan berseni dan ini menjadi punca utama mereka yang meminatinya tidak mempersoalkan harga yang ditawarkan,” katanya. – Bernama, 17 Januari, 2018.
Komen