Malaysia ramal 24,000 kes Covid-19 sehari pada September, kata KP kesihatan


Malaysia hari ini merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi iaitu 17,045 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 1,013,438.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2021.

MALAYSIA menjangkakan lonjakan penularan kes harian Covid-19 pada pertengahan September dengan 24,000 kes sehari, lapor Sinar Harian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan unjuran, kadar kebolehjangkitan (RT) pada masa itu akan menjadi 1.2.

Beliau berkata berdasarkan unjuran yang dibentangkan Kementerian Kesihatan Malaysia, kes akan terus meingat kepada 17,000 sehari pada pertengahan Ogos.

Bagaimanapun katanya, kes positif harian Covid-19 dijangka akan turun bawah 1,000 pada Oktober.

“Keberkesanan vaksin adalah 75% sekiranya kapasiti dos kedua adalah 100,000 sehari, dan 80% penduduk telah divaksin.

“Sekiranya kita boleh capai 150,000 dos sehari untuk dos kedua dengan 80% keberkesanan vaksinasi, menjelang Oktober kes harian Covid-19 akan menurun bawah 1,000,” katanya.

Malaysia hari ini merekodkan kes harian tertinggi iaitu 17,045 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 1,013,438.

Selangor merekodkan kes tertinggi dengan 8,500, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,045 kes dan Kedah dengan 1,216 kes.

Peningkatan kes Covid-19 direkodkan tiga hari berturut-turut dan kes tertinggi ialah 15,902 yang direkodkan semalam. – 25 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen