Semua negara digesa tingkat kerjasama dalam pembangunan kanak-kanak


Kira-kira 1.5 juta kanak-kanak di dunia kehilangan penjaga akibat pandemik Covid-19.– Gambar EPA, 25 Julai, 2021.

KIRA-kira 1.5 juta kanak-kanak di dunia kehilangan penjaga akibat pandemik Covid-19, menurut Simposium Antarabangsa mengenai Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Kanak-kanak ketujuh.

Justeru, semua negara diseru berganding bahu menangani cabaran itu bagi memastikan nasib kanak-kanak terus terbela.

Bertemakan “Melabur untuk Kanak-kanak demi Kemakmuran Lestari”, simposium itu berlangsung di Beijing pada Sabtu.

Simposium itu antara lain membincangkan mengenai matlamat pembangunan mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan kanak-kanak termasuk pembasmian kemiskinan, penubuhan sistem perkhidmatan awam dan polisi dan pembangunan  inovasi.

Selain itu, peserta simposium berpendapat langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak di pelbagai negara seperti penutupan komuniti, kuarantin di rumah, dan imuniti kelompok kemungkinan besar mengakibatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak terjejas.

Oleh itu, wakil China menyatakan, negara ini bersedia meningkatkan kerjasama dan komunikasi dengan pelbagai pihak dalam bidang pendidikan prasekolah, pemakanan kanak-kanak dan lain-lain, untuk  kesejahteraan kanak-kanak di seluruh dunia. – Bernama, 25 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen