Operasi mencari mangsa pangsapuri runtuh di Florida tamat


Ribuan tan sisa runtuhan dialihkan dan kini hanya tinggal beberapa dinding asas bangunan terletak di utara pantai Miami itu. – Gambar EPA, 25 Julai, 2021.

OPERASI mencari mengesan mangsa runtuhan blok pangsapuri di Florida yang mengorbankan sekurang-kurang 97 orang bulan lalu hampir berakhir dengan pasukan penyelamat menghentikan kerja di lokasi kejadian semalam.

“Sukar untuk mempercayai sebulan sudah berlalu dan ia mungkin tragedi terbesar dalam sejarah masyarakat kita.

“Walaupun lokasi kejadian hanya membabitkan satu blok di sebuah bandar, kesan dirasai jauh melangkaui negara kita sehingga menyentuh perasaan di seluruh dunia,” kata Datuk Bandar County Miami-Dade Danielle Levine Cava melalui rakaman video dalam Twitter.

Jumaat lalu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menamatkan operasi di lokasi Champlain Towers South, iaitu bangunan setinggi 12 tingkat yang runtuh sebahagian blok pada 24 Jun lalu.

Seorang remaja berjaya diselamatkan pada beberapa jam pertama selepas insiden berlaku, namun baki penghuni lain yang terperangkap gagal diselamatkan.

Ribuan tan sisa runtuhan dialihkan dan kini hanya tinggal beberapa dinding asas bangunan terletak di utara pantai Miami itu.

Levine Cava berkata pihak berkuasa mengenal pasti 97 mayat tetapi percaya seorang lagi mangsa masih gagal ditemui.

Usaha mengesan seorang lagi mangsa itu diteruskan oleh polis Miami-Dade.

Meskipun punca sebenar kejadian masih belum diketahui, hasil siasatan awal mendapati keadaan beberapa struktur bangunan terbabit dilihat merosot.

Baki bangunan itu dirobohkan menerusi letupan terkawal pada 4 Julai lalu bagi membolehkan operasi SAR diteruskan. – AFP, 25 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen