Ahli Parlimen, aktivis buat laporan polis menteri cuai urus Covid-19


Hailey Chung Wee Kye

Tujuh ahli Parlimen dan dua aktivis membuat laporan polis menuduh kerajaan cuai dalam pengurusan Covid-19. – Gambar ihsan Hannah Yeoh, 25 Julai, 2021.

TUJUH ahli Parlimen dan dua aktivis sivil membuat laporan polis terhadap menteri kesihatan dan menteri lain kerana cuai dalam menangani krisis Covid-19 di negara ini, ketika Malaysia makin menghampiri sejuta kes.

Kumpulan itu membuat laporan di Balai Polis Pantai di Kuala Lumpur di bawah Seksyen 269 dan Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Seksyen 269 merujuk perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa sementara Seksyen 304A berkaitan dengan perbuatan cuai yang menyebabkan kematian.

Aktivis Ambiga Sreenevasan berkata kerajaan gagal menjalankan tugas dan melaksanakan kaedah pengawalan penularan Covid-19 bagi menghalang lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa pandemik.

“Kami kini meminta kebertanggungjawaban daripada kerajaan tentang cara mereka menangani krisis.

“Mereka perlu tahu yang ada kesan perundangan kerana kecuaian berkaitan perkara ini. Kita bercakap tentang kehidupan rakyat Malaysia dan kita kena ambil serius perkara ini,” kata peguam-aktivis itu menerusi Facebook Live.

Aktivis lain yang terlibat dalam laporan polis itu ialah Marina Mahathir, sementara wakil rakyat yang turut serta ialah Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai), Hannah Yeoh (DAP - Segambut), Dr. Kelvin Yii (DAP - Kuching), Mohd Azis Jamman (Warisan - Sepanggar), Charles Santiago (DAP - Klang), Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan - Kota Belud) dan Maria Chin Abdullah (PKR - Petaling Jaya).

Kesemua mereka hadir ketika laporan polis dibuat.

“Antara isu dalam laporan termasuklah ujian saringan yang tidak mencukupi, kegagalan kerajaan berkongsi maklumat (secara telus) serta layanan (buruk) terhadap pekerja asing dan sumber tidak mencukupi dan tidak diberikan awal kepada hospital kita,” tambah Ambiga.

Yeoh pula menjelaskan yang laporan polis itu hanya ke atas badan eksekutif dan bukannya petugas barisan hadapan.

“Kami harap polis akan menyiasat perkara ini kerana laporan dibuat tujuh ahli Parlimen dan dua aktivis sivil.

“Kami harap polis akan mengambil serius dan menyiasat sewajarnya, dan tiada pengecualian jika tindakan perlu diambil kepada menteri kesihatan dan menteri yang berkaitan.

“Saya harap polis akan buat kerja mereka dan adil dan tidak berat sebelah,” tambah Yeoh lagi.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan yang Malaysia akan mencapai sejuta kes Covid-19 tidak lama lagi serta jumlah kematian melebih 100 orang setiap hari.

Semalam, 15,902 kes baharu Covid-19 dilaporkan, angka tertinggi sejak Malaysia dilanda pandemik tahun lepas. – 25 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen