LEBIH 100,000 mengadakan protes di Australia, Perancis, Itali dan Greece semalam, mencetuskan pertempuran dengan polis ketika mereka berhimpun dan berarak sebagai bantahan terhadap sekatan Covid-19 dikuatkuasakan kerajaan.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan ditahan pada perarakan haram di Sydney, dengan menteri polis melabelkan mereka yang menyertai himpunan itu sebagai “bodoh”.
Penganjur mendakwa protes itu adalah himpunan “kebebasan”. Semua peserta membawa kain rentang dan plakad tertera “Wake up Australia” dan “Drain the Swamp”.
Di Perancis, di mana polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan, dianggarkan 160,000 turun ke jalanan di seluruh negara membantah kenyataan Presiden Emmanuel Macron berkenaan pas kesihatan yang akan menyekat individu tidak divaksin daripada masuk ke restoran dan tempat awam.
Demonstrasi itu menonjolkan tentang konflik antara rakyat terperangkap antara nasihat Pertubuhan Kesihatan Dunia dan agensi kesihatan lain serta keperluan mencari pendapatan demi kelangsungan hidup – atau hanya untuk kembali kepada gaya hidup pra pandemik.
Di Indonesia dan United Kingdom, kerajaan menekankan berkenaan melonggarkan sekatan Covid-19 walaupun jumlah kes melonjak.
Sementara itu, kira-kira 5,000 individu mengadakan demonstrasi di Athen, membawa kain rentang seperti “Jangan sentuh anak kami”.
Di Itali, penunjuk perasaan berkumpul di Rom membantah “pas hijau” yang wajib ada untuk masuk ke premis makan tertutup dan kawasan hiburan.
Penunjuk perasaan di Sydney membaling pasu bunga dan botol air ke arah polis ketika diarah bersurai dan mematuhi arahan perintah berkurung sebulan.
Ketua menteri New South Wales Gladys Berejiklian beliau “menyampah” dengan penunjuk perasaan yang melakukan tindakan mementingkan diri sendiri yang boleh menjejaskan keselamatan seluruh rakyat. – AFP, 25 Julai, 2021.
Komen