UGANDA minggu ini memperuntukkan 25 juta euro kepada ahli Parlimen untuk membeli kereta baharu, dan mencetuskan kemarahan di negara miskin yang sedang berdepan pandemik koronavirus itu.
Setiap seorang daripada 529 wakil rakyat diberikan AS$56,500 untuk membeli kenderaan baharu ketika kes Covid-19 masih melonjak.
Pada 18 Jun, Presiden Yoweri Museveni mengumumkan langkah sekatan penularan wabak dengan menutup sekolah, gereja dan bar selama enam minggu.
“Tindakan kerajaan membeli barangan mewah untuk sekumpulan kecil di Parlimen tidak boleh diterima, dan mereka terus menerima gaji bulanan AS$8,000 sementara sebahagian besar populasi tidak dapat makan pun,” kata pembela hak asasi manusia Anet Nana Namata.
Buruh kasar di negara itu menerima gaji bulanan secara purata kira-kira 24 euro sementara guru menerima 64 euro.
Moses Isooba, pemimpin Forum NGO Nasional berkata:”Tindakan ini sangat memalukan ketika kerajaan merayu kepada warganya untuk memberi sumbangan wang bagi membeli vaksin Covid-19.”
Katanya, wang yang sepatutnya boleh digunakan itu sebaliknya kepada 500,000 rakyat dengan agihan 20 euro setiap seorang.
Berdepan dengan kemarahan rakyat, jurucakap kerajaan Ofwono Opondo mempertahankan keputusan berkenaan kerana ia selaras dengan tradisi selama ini.
“Ia bagi memudahkan mereka bertemu penduduk di kawasan diwakili. Persatuan sivil berada dalam proses membuat bajet dan sudah lama tahu yang ahli Parlimen akan menerima wang untuk membeli kereta,” katanya.
Pada 2018, tindakan sama diambil mencetuskan protes dengan aktivis menyerbu bangunan Parlimen.
Uganda, negara yang mempunyai populasi 45 juta penduduk merekodkan 91,710 kes Covid-19 dengan 2,496 kematian. Setakat ini, hanya sejuta penduduk sudah diimunisasi. – AFP, 25 Julai, 2021.
Komen