Jordan benarkan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak 12 tahun


Jordan membuka pengambilan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas, dengan kebenaran penjaga masing-masing. – Gambar EPA, 25 Julai, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan Jordan semalam berkata vaksin Covid-19 kini akan diberikan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Kementerian memutuskan untuk menurunkan umur imunisasi Covid-19 kepada 12 tahun bermula hari ini dan tanpa perlu membuat temu janji.

“Mereka di bawah usia 18 tahun akan menerima vaskin Pfizer-BioNTech dengan keizinan penjaga,” kata kenyataan kementerian.

Jordan yang mempunyai populasi 10 juta orang, melaporkan 763,900 kes koronavirus, dengan 9,900 kematian sejak pandemik bermula.

Kira-kira 1.9 juta sudah diimunisasi sepenuhnya, sementara 2.7 juta menerima dos pertama.

Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah sudah memberi kebenaran untuk vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada penerima berusia 12 tahun.

Amman bulan lalu berkata beberapa urus niaga dimeterai untuk memperoleh 12 juta dos vaksin Covid-19, dan bercadang menempah lima juta dos lagi.

Negara itu pada minggu lalu menerima setengah juga dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Washington.

Pihak berkuasa mengalu-alukan rakyatnya mengambil vaksin, dan mengenakan sekatan kepada mereka yang tidak berbuat demikian.

Antara langkah dikenakan terhadap rakyat yang tidak mengambil vaksin ialah pekerja sektor awam perlu menyerahkan ujian saringan negative Covid-19 sebanyak dua kali seminggu, dan permit kerja atau penduduk tetap tidak diperbaharui. – AFP, 25 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen