Bayi lahir waktu pandemik berisiko terencat kemahiran sosial, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Pakar perubatan berkata kanak-kanak yang lahir ketika pandemik berdepan risiko bermasalah dalam kemahiran sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2021.

KANAK-KANAK yang dilahirkan ketika pandemik berdepan risiko perkembangan kemahiran sosial yang terbantut akibat daripada pengasingan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan Covid-19, kata pakar perubatan.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik Dr Yong Junina Fadzil memberitahu The Malaysian Insight gaya hidup terbatas dan hanya duduk di dalam rumah untuk jangka masa panjang juga boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti kenaikan berat badan dan kekurangan vitamin D.

“Tahap mana kanak-kanak ini terjejas akan bergantung kepada usia mereka dan berapa lama pengasingan sosial berlaku kepada mereka.

“Walaupun kanak-kanak tidak perlu ke pusat membeli-belah untuk interaksi sosial – malah ibu bapa sebenarnya tidak digalakkan membawa bayi ke pusat beli-belah – mereka perlukan pendedahan di luar rumah di mana dapat dengar kicauan burung, melihat tumbuh-tumbuhan dan mendengar perbualan orang ramai.

“Kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun perlu keluar bermain di taman permainan, di mana mereka dapat bertemu dengan kanak-kanak lain dan terdedah kepada vitamin D.

“Aktiviti fizikal membantu pertumbuhan fizikal dan membantu menaikkan selera makan yang sihat. Kanak-kanak yang aktif secara fizikal cenderung makan lebih baik dan kurang gemuk,” kata Dr Yong.

Dr Yong berkata interaksi di tempat seperti taman permainan tidak hanya mengajar bagaimana kanak-kanak dapat berkongsi ruang dengan orang lain, tetapi membantu mereka mengembangkan kemahiran sosial mereka selain belajar berkawan.

“Melalui pertemuan seperti itu, mereka belajar untuk guna taman permainan secara bergilir, belajar konsep kongsi ruang. Mereka juga dapat belajar tingkah laku apa yang bagus dan tidak.

“Tanpa aktiviti luar dan interaksi sosial, kemahiran sosial seorang kanak-kanak susah berkembang, dan mungkin lebih takut dengan orang asing, tidak yakin untuk berkawan dan tidak dapat faham konsep bergilir.”

Katanya, kebanyakan kanak-kanak yang mencapai usia dua tahun menghabiskan 67% hidup mereka dalam keadaan terkurung dan terasing, hanya berinteraksi dengan ibu bapa dan ahli keluarga terdekat saja jika ada.

Ini katanya, boleh menyebabkan mereka takut apabila mereka dibenarkan melihat dunia luar nanti.

“Kanak-kanak berusia dua tahun akan habiskan 67% hidupnya dalam sekatan pergerakan. Bila mana dia dibenarkan keluar, dia akan bingung dan akan mudah takut dengan apa yang dia nampak.

“Apa yang menariknya tentang kanak-kanak ini ialah rasa ingin tahu mereka yang semula jadi. Ini akan membantu mereka atasi rasa takut dan bingung,” katanya.

Malaysia dikenakan penguatkuasaan tiga perintah kawalan pergerakan sejak pandemik bermula pada Mac tahun lepas. Sepanjang 16 bulan ini, kebanyakan rakyat diarahkadan duduk di rumah bagi membantu menyekat penularan Covid-19. – 25 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen