PASUKAN Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) akan memberi tumpuan kepada tujuh perkara dalam usaha mengurangkan kes jangkitan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Keong.
Tujuh perkara itu adalah penjagaan klinikal; Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pemantauan kendiri di rumah; epidemiologi; logistik perubatan dan umum; sistem sokongan sosial bagi petugas hadapan; sumber manusia dan kewangan; serta komunikasi strategik, katanya dalma kenyataan hari ini.
“Strategi berikut dikenal pasti sebagai tindakan yang perlu diambil dengan kadar segera.”
Malaysia hari ini mencatat 15,902 lagi kes baharu Covid-19, dengan 60% daripadanya dikesan di Lembah Klang. Sebanyak 7,351 kes direkodkan di Selangor, manakala 2,406 di Kuala Lumpur.
Dr Chong berkata, GKVSTF juga akan memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu.
Beliau menambah, ujian Covid-19 kini lebih mengutamakan individu bergejala, manakala yang tidak mengalami gejala akan diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.
“Semua kes bergejala ini masih perlu dinilai sama ada secara atas talian ataupun secara fizikal di CAC atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.
“Bagi kes yang positif yang tidak bergejala akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari, dan melaporkan diri secara atas talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah,” jelasnya.
Bagi kontak rapat kes positif yang tidak bergejala pula, mereka digalakkan melakukan ujian pantas Covid-19 sama ada di klinik berhampiran atau menggunakan kit ujian kendiri, serta menjalani kuarantin di rumah.
Langkah ini supaya kes Covid-19 di Lembah Klang dapat dikawal, katanya.
Terdahulu, Dr Chong umum Hospital Selayang akan menjadi sebuah hospital Covid-19 sepenuhnya dengan keupayaan sehingga 450 buah katil.
Pesakit lain di hospital tersebut akan dirujuk ke hospital swasta bagi meningkatkan keupayaan katil untuk pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5, katanya seperti dipetik Bernama.
Hospital Selayang merupakan hospital ketiga selepas Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang dijadikan hospital khusus Covid-19.
GKVSTF diwujudkan Kementerian Kesihatan bagi memantapkan tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang dalam mengurus pandemik Covid-19. – 24 Julai, 2021.
Komen