VIETNAM memfailkan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), mengenai langkah anti-lambakan Amerika Syarikat (AS), ke atas eksport ikan Vietnam, menurut Kementerian Perindustrian dan Perdagangan.
Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan, menurut aduan yang difailkan itu, negara berkenaan sedang berunding dengan kerajaan AS mengenai peraturan, amalan dan penentuan anti-lambakan, berkaitan filet ikan dari Vietnam.
Vietnam menuduh AS menggunakan kaedah tidak bersesuaian, mengakibatkan berlakunya anti-lambakan lebih tinggi ke atas produk keluaran asing, termasuk amalan lain yang tidak konsisten dengan WTO.
Di samping itu, Vietnam turut menyuarakan kebimbangan AS melanggar peraturan mengenai penyelesaian pertikaian, dengan menolak permintaan pengeksport Vietnam, untuk membatalkan langkah-langkah anti-lambakan, walaupun negara berkenaan layak mendapatkan pembatalan tersebut.
Permintaan untuk berunding adalah langkah wajib pertama dalam prosedur penyelesaian pertikaian WTO.
AS mempunyai 60 hari untuk menyelesaikan aduan itu, yang mana Vietnam boleh memohon hukuman diketepikan daripada WTO.
Pertikaian kali ini, adalah yang keempat antara Vietnam dengan WTO. Sebelum ini, dua aduan dikemukakan terhadap langkah anti-lambakan AS untuk bekalan udang tertentu dan satu lagi dengan Indonesia mengenai sebahagian produk keluaran Vietnam.
Pada 2017, Vietnam memperoleh peningkatan sebanyak 5.5% daripada jumlah nilai eksport ikan patin sebanyak AS$1.75 bilion.
China adalah pasaran terbesar bagi eksport produk ikan Vietnam, manakala AS di tempat kedua. – Bernama, 17 Januari, 2018.
Komen