PASUKAN penyelamat di India mencari mangsa yang mungkin terselamat ketika kejadian tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan bertambah kepada 45 orang, menurut pegawai.
Sebanyak 68 yang lain hilang selepas hujan lebat turun di pantai barat India, menyebabkan tanah runtuh dan menimbus puluhan rumah di daerah Raigad yang terjejas teruk, terletak di selatan Mumbai.
“Seramai 43 orang maut dalam tiga kejadian tanah runtuh di daerah ini ... Operasi menyelamat diteruskan”, kata Sagar Pathak, seorang pegawai pengurusan bencana di Raigad, kepada AFP.
Sementara itu, 53 orang hilang dengan lebih ramai dikhuatiri terperangkap di bawah lapisan tanah lumpur berikutan kejadian itu.
Sebelum ini, jurucakap kerajaan negeri Anirudha Ashtaputre memberitahu AFP terdapat dua mangsa meninggal dunia di daerah Satara akibat tanah runtuh.
Di tempat lain di negeri ini, sekurang-kurangnya 15 orang juga hilang, menurut pihak berkuasa negeri.
Pasukan tentera berusaha memindahkan mereka yang terperangkap dalam banjir, tetapi operasi terhalang oleh tanah runtuh yang menyekat jalan raya, termasuk lebuh raya utama antara Mumbai dan Goa.
Paras air meningkat kepada 3.5m pada Khamis di kawasan Chiplun, sebuah bandar 250km dari Mumbai, berikutan hujan tanpa henti selama 24 jam yang menyebabkan sungai Vashishti melimpah, menenggelamkan jalan dan kediaman.
Ketua menteri Maharashtra Uddhav Thackeray berkata pekerja kecemasan sedang berusaha untuk sampai ke kawasan kejiranan di Chiplun, susulan kerosakan jalan dan jambatan di sana.
Tentera laut mengerahkan tujuh pasukan penyelamat yang dilengkapi bot getah, jaket penyelamat dan bot penyelamat ke kawasan terjejas, bersama pakar penyelam dan helikopter untuk menyelamatkan penduduk.
Jabatan meteorologi India mengeluarkan amaran merah bagi beberapa wilayah di negeri ini, yang menunjukkan hujan lebat akan berterusan selama beberapa hari akan datang. – AFP, 24 Julai, 2021.
Komen