AS lulus dana kecemasan AS$100 juta untuk Afghanistan


Afghanistan sedang berdepan ancaman Taliban ketika AS mengundurkan tenteranya dari zon konflik itu. – Gambar AFP, 24 Julai, 2021.

PRESIDEN AS Joe Biden semalam membenarkan penggunaan sehingga AS$100 juta (RM422.7 juta) untuk menangani isu migrasi kecemasan disebabkan situasi semasa di Afghanistan, kata White House.

Kenyataan itu menyebut wang itu akan disalurkan menerusi Dana Bantuan Kecemasan Pelarian dan Migrasi “yang bertujuan memenuhi keperluan kecemasan mendesak pelarian dan migrasi, mangsa konflik, dan orang berisiko lain disebabkan situasi di Afghanistan.”

Dana itu juga akan menyokong mereka yang memohon program Visa Khas Imigran Jabatan Negara, melibatkan hampir 20,000 warga Afghanistan yang bekerja sebagai penterjemah untuk AS ketika perang di negara itu yang kini memohon untuk dipindahkan kerana diancam bahaya kebangkitan Taliban.

Dana itu juga boleh digunakan untuk hubungan dua dan pelbagai hala menerusi sumbangan atau pembiayaan organisasi antarabangsa, kumpulan masyarakat sivil, kerajaan dan agensi AS, tambah kenyataan.

Taliban sedang memperhebat serangan di seluruh Afghanistan sejak beberapa bulan lepas, mengambil kesempatan daripada perunduran ketumbukan tentera AS terakhir yang dijangka dilengkapkan pada akhir Ogos ini, situasi yang mencetuskan kebimbangan wujudnya krisis kemanusiaan terbaru.

PBB baru-baru ini menganggarkan separuh daripada 39 juta penduduk Afghanistan memerlukan bantuan dan meminta masyarakat antarabangsa untuk mengekalkan bantuan kewangan kepada negara bergolak itu. – AFP, 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen