Vaksinasi pekerja dipergiat, industri perabot minta kebenaran beroperasi


Khoo Gek San

Kilang perabot antara yang tidak dibenarkan beroperasi sejak sekatan pergerakan penuh dikuatkuasa yang menjejaskan kemampuan mereka memenuhi permintaan eksport. – Gambar AFP, 24 Julai, 2021.

SYARIKAT perabot optimis yang industri itu akan mampu beroperasi dengan 80% kapasiti pada separuh kedua tahun ini disebabkan program vaksinasi yang sedang dipergiat di seluruh negara.

Dengan pelaksanaan Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta (Pikas), pengeluar perabot yakin vaksinasi pekerja mereka boleh dipercepat.

Presiden Majlis Perabot Malaysia Khoo Yeow Chong berkata ini sangat mustahak bagi membolehkan kilang perabot memenuhi permintaan pasaran eksport.

Katanya, dalam dua minggu pertama sekatan pergerakan penuh dilaksana pada 1 Jun lepas, industry kerugian RM550 juta. Beliau menjangkakan setakat 12 Julai lalu, kerugian ditanggung industri mencecah RM1.6 bilion.

“Adalah dianggarkan yang dari Jun hingga Ogos, industri akan kerugian sekitar RM2 bilion walaupun selepas beroperasi semula di lapan negeri yang memasuki Fasa Dua.

“Walaupun kami memahami usaha kerajaan untuk mengawal pandemik Covid-19, jelas terbukti yang langkah dibuat sebelum ini tidak berkesan dan jabatan berkaitan perlu membincangkan langkah lain supaya industri dapat beroperasi semula.

“Jika tidak, sangat sukar untuk kami bersaing dengan seluruh dunia,” kata Khoo kepada The Malaysian Insight.

Khoo berkata kebanyakan kilang perabot di Malaysia terletak di Muar dan Batu Pahat di Johor. Di Muar, Pikas akan bermula pada 2 Ogos depan.

Di zaman emasnya, eksport perabot negara mencecah nilai RM12.1 bilion. Amerika Syarikat adalah negara pengeksport utama dengan 56%, diikuti Jepun, Singapura dan United Kingdom.

Johor sahaja mengeluarkan 70% perabot untuk pasaran eksport negara.

Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) khusus untuk sektor perkilangan kini diperhebat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2021.

80% tenaga kerja dibenarkan bekerja di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kriteria sebelum negeri boleh memasuki fasa ini adalah kes harian Covid-19 kurang 4,000, vaksinasi penuh 10% penduduknya dan penggunaan sederhana katil di ICU.

Buat masa sekarang, hanya lapan negeri memasuki Fasa 2; Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Di bawah Fasa 2, hanya syarikat perabot yang menghasilkan produk untuk tujuan eksport berada dalam senarai sektor pembuatan yang dibenarkan buka dan boleh beroperasi semula.

Pertimbang dulu benar 50% tenaga kerja untuk kilang perabot

Presiden Persatuan Perabot Kuala Lumpur dan Selangor Matthew Law berkata industri di dua negeri itu berharap dapat beroperasi semula pada Ogos.

Tidak seperti Johor, proses vaksinasi Selangor bermula pada Julai dan kebanyakan pekerja sudah divaksin. Jika semuanya berjalan lancar mengikut pelan, Law menjangkakan industri akan dapat beroperasi semula pada hujung Julai atau awal Ogos selepas lebih ramai pekerja mendapat dua dos vaksin.

“Tempoh senggang antara dos pertama dan kedua agak lama, tetapi kami berharap untuk beroperasi semula.” – 24 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen